KUALA LUMPUR – Silibus pemulihan kanak-kanak yang terkait dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) akan disesuaikan mengikut tahap umur mereka.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, perkara itu merupakan rumusan awal yang akan dibentangkan pada pertengahan bulan ini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Selangor akan turut berhubung dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk berkerjasama dalam pengurusan anak-anak GISBH dari Selangor yang ditempatkan di rumah perlindungan di sana.
Mohammad Fahmi berkata, beliau berpuas hati dengan hasil perbincangan Bengkel Taskforce Pemulihan Anak-GISBH yang berlangsung pada 17 Oktober sehingga 18 Oktober lalu.
Bengkal itu melibatkan Polis Diraja Malaysia, Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor,
Lembaga Zakat Selangor, Yayasan MBI, Yayasan Selgate, Persatuan Taska Negeri Selangor bersama agensi swasta dan bukan kerajaan.
Hasil daripada bengkel tersebut, sebuah pasukan khas telah dibentuk untuk melakukan saringan dan pemeriksaan terperinci bagi menilai tahap kesihatan fizikal, mental, emosi serta keparahan pegangan anak-anak ini kepada ideologi GISBH.
Tambah beliau, kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama dan bantuan daripada pelbagai pihak baik dari segi tenaga pakar dan kewangan untuk sama-sama memulihkan anak-anak ini dan yakin mereka berpotensi untuk menjadi aset Selangor yang
baik sekiranya diberikan didikan dan penjagaan yang sewajarnya. – MalaysiaGazette