Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Penjimatan yang diperoleh daripada pengurangan subsidi pengeluaran gula boleh disalurkan untuk dimanfaat rakyat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, penjimatan tersebut boleh digunakan untuk membina lebih banyak infrastruktur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pada pandangan saya tidak baik kita memberikan subsidi yang berlebihan dan dalam masa yang sama kita perlu kos sangat tinggi untuk merawat penyakit diabetis.

“Dengan angka rawatan RM33 bilion (tahun 2021) adalah jumlah yang besar, kita mampu untuk membeli ambulans, membina klinik-klinik kesihatan lagi dan hospital maka saya harap War On Sugar ini dapat disokong dan berilah kami idea-idea bagaimana kita kuatkan lagi kempen ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abd Rahman (Bebas) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini. hari.

Syed Saddiq mencadangkan supaya kerajaan mengurangkan subsidi pengeluaran gula jika serius untuk melaksanakan kempen War On Sugar yang mampu membantu kebergantungan rakyat terhadap pengambilan gula setiap hari.

“Kalau kita serius adakan perang ke atas gula jangan hanya berani naikkan cukai akses gula, tetapi kita turut perlu pertimbangkan secara berkala untuk mengurangkan subsidi pengeluaran gula di Malaysia supaya rakyat tidak terus bergantung kepada gula sebagai makanan ruji mereka saya harap ini dapat dipertimbangkan,” kata Ahli Parlimen Muar itu.

Selain itu beliau turut memuji usaha kerajaan menaikkan cukai akses gula yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025 itu dijangka memberi penjimatan sehingga RM400 juta.

Lukanisman berkata, beliau akan menyuarakan cadangan itu kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast