JOHOR BAHRU – Seorang warga emas dipercayai dalam perjalanan pulang dari masjid selepas solat subuh maut dirempuh kenderaan dalam kejadian langgar lari di Jalan Padi Mahsuri, di sini, hari ini .
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, dalam kejadian pukul 7.11 pagi itu mangsa berjalan kaki dan sedang melintas jalan dari Masjid Jamek Bandar Baru Uda.
“Mangsa lelaki warga tempatan dilanggar oleh sebuah kenderaan nombor dan jenis tidak pasti.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, polis kini giat mengesan suspek dan kenderaan melanggar mangsa.
Pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Hafiz Aminuddin talian 011-35807871.
Tambahnya, kes disiasat bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, menyebabkan kematian kerana memandu melulu atau merbahayakan.- MalaysiaGazette