BANGI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi mahu mendengar komen-komen ‘tidak enak’ berhubung pemberian peruntukan dan dana yang disalurkan kerajaan kepada golongan sasar tidak sampai kepada penerimanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan, semua pemimpin desa di seluruh negara perlu sentiasa memastikan data dan maklumat keseluruhan kawasan mereka sentiasa dikemas kini.
Ini termasuk maklumat berkaitan penduduk setempat yang memerlukan sebarang bantuan atau pun dana kerajaan.
Pemimpin desa juga katanya, perlu memastikan penduduk di kawasan mereka berkemampuan menyertai program-program dianjurkan kerajaan dari masa ke semasa mengikut keutamaan.
“Sebaik-baiknya, kita tidak mahu lagi dengar komen-komen ‘balik-balik adik beradik, orang-orang dia sahaja dapat’. Ini bukan amalan biasa kita jadi kita perlu berubah.
“Mereka yang layak memperolehi bantuan, wajib diberi keutamaan oleh kita semua. Ini hanya boleh dilakukan dengan adanya data lengkap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) serta JPKK Orang Asli (JPKKOA) pada Majlis Penutupan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar MADANI Tahun 2024 di sini hari ini.
Kata Ahmad Zahid lagi, KKDW juga sedang membantu membangunkan aplikasi dua hala untuk memastikan bantuan disalurkan secara lancar, tanpa pertindihan dan efektif.
“Aplikasi ini juga boleh digunakan untuk memaklumkan sebarang inisiatif Kerajaan kepada rakyat serta membantu syarikat atau startup melihat potensi projek komuniti yang boleh dilaksanakan bersama,” katanya.
Selain itu, kata beliau, program pertukaran di mana pemimpin komuniti berpeluang melawat dan mempelajari projek luar yang berjaya di kawasan lain perlu diadakan.
Jelasnya, inisiatif ini akan memberikan idea baharu, menggalakkan pembelajaran silang dan membawa amalan terbaik ke komuniti masing-masing.
“Saya mencadangkan supaya diwujudkan ruangan khas di Karnival Usahawan Desa (KUD) tahun hadapan, yang dikenali sebagai Kampung Desa MADANI. Di situ, saya akan memilih kampung yang terbaik dari kalangan yang terbaik.
“Pemimpin Desa Madani boleh memanfaatkan sepenuhnya Belanjawan 2025 serta alat yang tersedia di KKDW dan kementerian lain untuk memperbaiki kualiti hidup dan taraf ekonomi masyarakat luar bandar. Anda sebagai pemimpin akar umbi penting buat kerajaan bersama- sama memacu kemajuan negara,” ujarnya. -MalaysiaGazette