SHAH ALAM – Pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful perlu memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini selewat-lewatnya sebelum esok berhubung sabitan dan hukuman atas satu pertuduhan merogol seorang wanita pada 2019.
Peguam, Muhammad Amin Othman memberitahu, Mahkamah Seysen di sini telah menerima alasan penghakiman dan nota keterangan yang dikemukakan pihaknya sebelum ini.
“Hari ini telah ditetapkan untuk pengurusan kes bagi rayuan yang difailkan oleh Syed dan rayuan balas yang dibuat oleh pihak pendakwa raya.
“Alasan penghakiman di Mahkamah Sesyen telah pun diterima. Jadi kami perlu failkan petisyen rayuan sebelum esok iaitu 6 November 2024. Setakat ini itu sahajalah status kita untuk Da’i Syed.
“Mahkamah Tinggi menetapkan 10 Disember ini sebagai tarikh sebutan kes untuk status pemfailan rekod rayuan yang akan dibuat oleh mahkamah rendah,” katanya kepada pemberita di lobi mahkamah hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Syed Shah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini berhubung sabitan, hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan merogol seorang wanita pada 2019.
Menerusi notis rayuan yang difailkan pada 30 Ogos lalu, Syed Shah Iqmal, 29, membuat permohonan itu kerana tidak berpuas hati terhadap keputusan Hakim, Norazlin Othman yang menjatuhinya hukuman berkenaan pada 30 Ogos lalu.
Mengulas lanjut, Muhammad Amin berkata, tiada sebarang dokumen tambahan akan dikemukakan pihaknya dalam notis rayuan anak guamnya, esok.
“Tidak, by right itu semua dokumen yang telah diserahkan kepada mahkamah dan juga petisyen rayuan yang kita akan failkan sebelum esok.
“Sekarang hanya petisyen rayuan dan alasan-alasan perayu untuk merayu ke Mahkamah Tinggi, apakah alasan-alasan yang kita perlu letak dalam petisyen tersebut,” katanya.
Ketika ditanya tentang alasan yang dikemukakan pihak pendakwa raya terhadap sabitan dan hukuman ke atas Da’i Syed, beliau bagaimanapun berkata, ia masih terlalu awal berkenaan perkara itu.
“Kita merayu untuk sabitan dan hukuman, pihak pendakwa raya merayu terhadap hukuman, ada rayuan silang.
“Alasan-alasan itu kita hanya kita ketahui apabila mereka juga memfailkan petisyen rayuan mereka, iaitu sebelum 7 November 2024.
“Alasan mereka masih lagi pramatang, tunggu sehingga esok untuk kita failkan rayuan,” katanya.
Muhammad Amin turut memberitahu, Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonan pihaknya untuk memberi pengecualian kehadiran anak guamnya pada 10 November ini.
“Kami telah memohon kebenaran mahkamah untuk pengecualian kehadiran Da’i Syed dan mahkamah telah membenarkan permohonan kami untuk kehadiran Dai Syed dikecualikan,” katanya.
Sementara itu, Syed memohon semua pihak mendoakan agar permohonan rayuan dan perbicaraan kes beliau berjalan lancar.
“Alhamdulillah, semua saya rasakan, saya doakan semoga dipermudahkan urusan untuk perbicaraan nanti,” katanya.
Ditanya tentang keadaan cahaya mata dan isterinya, Hana Ismail, beliau berkata mereka dalam keadaan baik dan sihat.
“Anak alhamdulillah nak masuk tiga bulan, isteri pun sihat alhamdulillah, semua okay. Saya banyak habiskan masa dengan anak dan isteri buat masa sekarang,” katanya.
Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di i-City, Seksyen 7 di sini, jam 1.35 pagi, 11 September 2019.
Syed Shah didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette