Suhaimi Abdullah

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah mendakwa kerajaan memberi peruntukan khas sebanyak RM350 juta sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Katanya peruntukan tersebut disebut dalam Belanjawan 2025 yang dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober yang lalu.

Selain terkejut, beliau turut menyifatkan jumlah peruntukan yang diagihkan mengikut kementerian tertentu itu sebagai amat besar.

Sekiranya benar Mohd Suhaimi meminta kegunaan peruntukan tersebut dijelaskan secara terperinci.

“Saya tengok dalam Belanjawan ini saya pun terkejut peruntukan Kepengerusian ASEAN bila saya tengok peruntukan yang diberikan Ketua Pentadbir Parlimen dapat RM12 juta, Jabatan Perdana Menteri RM8 juta, Jabatan Perkhidmatan Awam RM800,000, SPRM RM12 juta, Perbendaharaan RM16 juta,….RM172 juta… saya kira semua yang dapat kecuali kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

“Saya nak tanya Menteri berapa banyak kita akan belanja untuk ASEAN dan apakah tempat-tempat mesyuarat akan diadakan di Kuala Lumpur sahaja atau dipecahkan ke tempat-tempat lain juga? Kerana RM350 juta ini banyak…

“Saya tidak tahu menjadi tuan rumah sidang ASEAN dapat perbelanjaan juga? Saya tidak faham juga mungkin Tan Sri Pagoh (Tan Si Muhyiddin Yassin) pernah jadi Perdana Menteri lama dia tahu berapa banyak perbelanjaan tapi saya kalau RM350 juta banyak. Kalau bawa setengah ke Langkawi pun banyak boleh diguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar sebelum ini menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia mampu menjadi tuan rumah terbaik sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Beliau berkata, hasil kerjasama utuh semua pihak akan membawa negara tampil sebagai hos yang cemerlang kepada semua delegasi terlibat.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, sebanyak tiga tonggak utama digariskan oleh Malaysia sebagai persiapan menjadi Pengerusi ASEAN 2025 iaitu keselamatan dan politik, ekonomi serta sosiobudaya.

Katanya, sejak Jun lalu Malaysia telah menyusun atur sebanyak 257 mesyuarat peringkat tertinggi melibatkan pemimpin negara, menteri dan pegawai yang akan diadakan tahun depan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast