Ahmad Zahid Hamidi (tengah) mempengerusikan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) dan Majlis Peluncuran Pelan Pemerkasaan Sosiekoniomi Belia 2030 di Parlimen.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak menutup pintu kerjasama dengan mana-mana parti politik kerana parti itu berpaksikan kepada asas kolaborasi antara Pakatan Harapan (PH) dan BN, sebagaimana ditekankan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu perlu diperkukuhkan d iperingkat pusat dan peringkat negeri termasuk di Sabah.

Malah katanya, ia merupakan keputusan yang telah dibuat dalam mesyuarat sekretariat Kerajaan Perpaduan baru-baru ini.

“Tempoh terakhir bagi PRN Sabah (Pilihan Raya Negeri) ialah Oktober 2025…ada waktu lagi.

“Kita sebenarnya tidak menutup pintu untuk kerjasama dengan gabungan mana-mana parti sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengerusi gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan, bahawa asasnya ialah kolaborasi antara PH dan BN. Itu asasnya

“Perkara ini perlu diperkukuhkan di peringkat pusat dan peringkat negeri dan ini juga yang akan berlaku di Sabah.

“Ini merupakan keputusan yang telah kita buat dalam mesyuarat sekretariat kerajaan perpaduan baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikia pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) dan Majlis Peluncuran Pelan Pemerkasaan Sosiekoniomi Belia 2030 di Parlimen, hari ini.

Hadir sama pada mesyuarat itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin mengenai kesediaan parti itu bergerak solo dalam PRN Sabah tahun depan.

Bung Mokhtar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menjelaskan, kesediaan parti itu perlu terutama jika BN tiada kesepakatan untuk bergabung dengan parti-parti lain bagi menghadapi PRN ke-17.

BN sebelum ini menilai kemungkinan membentuk kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan), namun belum ada kata putus dimeterai antara pimpinannya setakat ini.

Gabungan turut disertai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu juga, sudah memutuskan kesediaan untuk membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), namun soal agihan kerusi masih belum dimulakan serta dimuktamadkan.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad mengenai kemungkinan berlaku pertembungan antara PH dan BN pada PRN Johor dan PRU akan datang susulan BN masih belum mahu membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau menganggap kenyataan itu sebagai pandangan peribadi.

Katanya, selagi kenyataan seperti itu tidak dilontarkan oleh pemimpin sesuatu parti dalam gabungan ia bukanlah dasar parti itu.

“Saya telah menyatakan bahawa selagi pengerusi, presiden atau setiausaha agong mana-mana parti belum dan tidak mengeluarkan kenyataan, kita anggap kenyataan itu adalah pendapat peribadi bukan dasar parti,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast