KUANTAN – ”Ayah bekerja sebagai kontraktor besi, tapi suka buat kerja sukarelawan menggali kubur di Tanah Perkuburan Kampung SC dekat Batu 3 beberapa tahun lalu,”.
Demikian kata anak sulung kepada mangsa yang meninggal dunia akibat dirempuh lori ketika minum di sebuah warung di Jalan Batu 8, di sini, petang semalam.
Safuan Azali Affendi, 31, berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan arwah di bengkel milik ayahnya, Affendi Abd Wahab,51, dua jam sebelum nahas berlaku.
Beliau menganggap apa yang berlaku adalah ketentuan Illahi.
”Saya juga memang selalu makan di warung (lokasi nahas) sebab waktu rehat mamang makan di situ, termasuk dengan ayah. Sudah berbelas tahun arwah makan di situ bersama kawan-kawan dia.
”Ayah memang suka buat kerja kebajikan menggali kubur percuma semasa hayatnya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Afzan (HTAA), malam tadi.
Semalam, seorang pekerja bengkel besi maut manakala dua lagi cedera selepas sebuah lori merempuh warung di persimpangan Kampung Seri Damai Baru, Batu 8, Jalan Kuantan-Maran.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang, Affendi meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTAA.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, ketika kejadian mangsa yang minum di warung berkenaan maut akibat kecederaan parah selepas dilanggar oleh pemandu lori dari arah Kampung Pandan menghala ke arah Gambang.
Menurut Safuan, ayahnya dikebumikan di perkuburan di mana arwah menjadi penggali kubur secara sukarela.
Difahamkan ayahnya turut mewakafkan sebahagian tanahnya sebagai tanah perkuburan di kawasan berkenaan.
”Alhamdulillah itu urusan ayah semasa hayatnya sentiasa membantu orang kerana bagi ayah kalau orang lain susah dia pun susah, sebab itu sentiasa bantu kawan-kawan. – MalaysiaGazette
Artikel Berkaitan :
Lelaki dirempuh lori ketika sedang makan meninggal dunia
Lori terbabas rempuh warung, tiga lelaki cedera