KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sepatuitnya diletakkan di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata, ia bagi membolehkan agensi berkenaan bergerak seiring dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (Felcra).
“Perancangan dan hala tuju kerajaan mengenai masa depan Felda terus menjadi tanda tanya sejak agensi tersebut diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri.
“Felda perlu diletakkan di bawah kementerian supaya urusan pentadbiran dan kawal selianya lebih berkesan.
“Penyeragaman tiga agensi utama yang menjadi tunjang ekonomi masyarakat luar bandar perlu dilakukan supaya gerak kerja untuk memperkukuhkan sektor sawit dan getah dapat berjalan dengan lebih berkesan kerana adanya pemusatan dari segi pentadbiran,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Isam berkata demikian ketika perbahasan peringkat dasar mengenai Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2025.
Sementara itu, beliau berkata, sebelum ini pelbagai bantuan tersedia untuk semua peneroka Felda, namun kini ia berubah.
“Hanya sebilangan kecil sahaja yang layak untuk memanfaatkan sesetengah bantuan dan terdapat juga bantuan yang terpaksa dimansuhkan.
“Keadaan kewangan Felda sememangnya memerlukan lonjakan baharu supaya dapat dipulihkan sepenuhnya bagi menjamin kestabilan yang berpanjangan,” katanya. – MalaysiaGazette