Hassan Karim

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah mulai terjebak dengan amalan kapitalisme kroni.

Menurut beliau, pentadbiran Perdana Menteri kesepuluh itu kini membina kapitalisme kroni selepas baru sahaja memerintah selama dua tahun bermula 24 November 2022.

Hassan menyifatkan perkembangan itu sebagai satu kesilapan seperti yang pernah dilakukan dalam pentadbiran kerajaan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad dari 1982 hingga 2004.

“Bezanya Dr Mahathir Mohamad membina kapitalis-kapitalis kroni daripada kalangan kaum Melayu, Cina dan India daripada kalangan rakyat biasa iaitu merupakan usahawan-usahawan baharu muncul yang berpotensi dan rapat dengannya.

“Bawah Anwar Ibrahim mulai wujud sistem hibrid dalam pembinaan kapitalis-kapitalis kroni. Di bawah Perdana Menteri kesepuluh terdapat tiga jenis kapitalis kroni,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengkategorikan golongan pertama ialah kapitalis-kapitalis kroni yang terbina sejak zaman pentadbiran Dr Mahathir yang kini semakin matang dan berpengalaman.

Dakwanya, golongan berkenaan kini terus wujud mengelilingi serta menumpahkan kesetiaan dan sokongan kepada Perdana Menteri yang baharu.

“Mereka ini pemain-pemain besar dalam industri tenaga elektrik, industri digital dan industri pengangkutan seperti pelabuhan dan penerbangan,” ujarnya.

Sementara golongan kedua kapitalis kroni katanya, merupakan mereka yang ada pada zaman kerajaan Madani ketika ini namun belum begitu meluas atau berani kerana sering diperhati.

“Kapitalis kroni jenis kedua ini yang rapat dengan Perdana Menteri adalah pemain kecil, masih amatur, yang baru muncul yang tidak ada track record sebagai usahawan berjaya.

“Tetapi mendapat peluang dan ehsan dari kapitalis kroni golongan pertama yang sedang membina jambatan hubungan rapat dengan Perdana Menteri kesepuluh,” katanya.

Bagi golongan ketiga kapitalis iaitu pada zaman Anwar katanya, agak luar biasa dan tidak ramai tetapi amat menonjol selain kebal serta tidak mudah disentuh.

“Golongan ini agak kebal dan tidak mudah disentuh kerana dilindungi oleh momokan undang-undang yang bernama 3R (Raja, agama, bangsa),” ujarnya

Hassan menganggap mereka adalah golongan kayangan yang melakukan fungsi perniagaan dilarang undang-undang telah terdedah sekarang ini.

“Apabila kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia memberikan lesen mengendalikan rangkaian kedua 5G kepada sebuah syarikat Telsco yang relatifnya pendatang baharu tetapi 22.31 peratus saham equiti syarikat tersebut dikuasai oleh institusi yang dilarang oleh Perkara 34(3) Perlembagaan Persekutuan untuk melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial.

“Imej kerajaan Madani pimpinan Anwar yang menjadikan perjuangan menegakkan tatakelola, urus tadbir kerajaan yang baik, telus dan amanah mulai tercalar dan dipersoalkan,” katanya.

Tegasnya, semua itu angkara munculnya kembali amalan membina kapitalisme kroni tetapi kali ini datangnya daripada golongan mahakaya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here