Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan sepatutnya tidak mengulangi kesilapan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang menanggung kerugian sebanyak RM43.9 juta dengan menjual saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikuasai BlackRock Inc.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ini kerana penjualan saham yang dianggapnya pada harga yang rendah dan berisiko mengundang kerugian ratusan juta ringgit.

“Kalau pun tidak mahu kita bahas dari segi Palestin, kewangan dan ekonomi sekalipun, penjualan MAHB ini tidak memberi manfaat kepada negara sama sekali.

“Ini kerana kalau kita lihat harga tawaran yang dijanjikan oleh Khazanah dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk mereka membawa MAHB ke peringkat swasta adalah amat murah, sekarang ini berlegar sekitar RM1.60 dan tawaran yang mereka sasarkan RM11 itu juga masih rendah berbanding potensi MAHB boleh jana kepada negara.

“Kalau kita lihat kebimbangan juga timbul baru-baru ini berkaitan pelaburan strategik Khazanah ke atas FashionValet yang kini sedang disiasat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), itu baru lebih RM46 juta rugi kita bercakap tentang kebimbangan rugi beratus juta ringgit,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, entiti yang bertanggungjawab menjaga dana milik rakyat sepatutnya dikecualikan daripada membuat pelaburan berisiko.

Selain itu Wan Ahmad Fayhsal berkata, kerajaan sepatutnya mengikuti langkah dana pencen Norway, KLP yang melepaskan pegangan saham dalam syarikat perindustrian Amerika Syarikat, Caterpillar berjumlah hampir AS$70 juta ekoran risiko peralatan perusahaan itu digunakan untuk melanggar hak asasi manusia di wilayah Palestin.

“Jadi saya ingin ingatkan kerajaan, jangan ulangi tatakelola dana-dana badan yang menguruskan pencarum-pencarum rakyat Malaysia,” ujarnya.

Terdahulu, beliau menyifatkan kenyataan dan jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kritikan penjualan saham MAHB kepada GIP dianggap sebagai hanya ‘melepaskan batuk di tangga’.

Katanya, kerajaan sehingga kini gagal memberi penjelasan yang konkrit mengenai keputusan tersebut.

“Saya ingin memberi respon jawapan yang mengecewakan oleh Perdana Menteri semalam dalam sesi penerangan khas isu Palestin yang mana jawapannya kepada Ali Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN) berhubung penjualan saham MAHB sesuatu yang bagi saya tidak jujur malah boleh dibuat dengan lebih baik.

“Pada pandangan saya isu MAHB bukanlah susah untuk kerajaan ambil tindakan yang lebih adil. Apa yang Perdana Menteri jelaskan dalam dewan selama ini bagi saya tidak lengkap, tidak jujur dan tidak menyeluruh malah membelakangi kepentingan negara dan semua persoalan yang telah kami (pembangkang) bangkitkan sama ada di dalam dewan, luar atau Kamar Khas, begitu banyak jawapan-jawapan yang diberikan kerajaan tidak munasabah,” katanya.

Semalam, ketika sesi penerangan mengenai Palestin dalam Dewan Rakyat oleh Anwar, Ahli Parlimen Sik bangun dan menggesa kerajaan menyemak semula penjualan saham MAHB kepada BlackRock yang dikaitkan menguasai saham sebuah syarikat pembekalan senjata terbesar kepada Israel, Lockheed Martin.

Katanya, ramai aktivis Palestin yang meminta kerajaan mempertimbangkan semula keputusan terbabit, malah Malaysia turut berdepan risiko pendakwaan jika meneruskan penjualan saham berkenaan.

Namun Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak boleh melaksanakan tindakan yang retorik membabitkan isu kekejaman Israel ke atas Palestin semata-mata hanya untuk menarik perhatian orang ramai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast