KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan menjelaskan jumlah penerbangan dari ibu negara ke Sabah dan Sarawak akan kembali pulih bulan depan.
Menterinya, Anthony Loke berkata, pengurangan jumlah penerbangan itu dibuat bagi memastikan syarikat-syarikat penerbangan dapat menyelesaikan isu penyelengaraan sebelum dibenarkan untuk meningkatkan jumlah penerbangan domestik mereka.
“Memang betul ada pengurangan jumlah penerbangan tapi ini cuma sementara waktu untuk mereka menyelesaikan isu penyelenggaraan.
“Penerbangan antara Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak akan dikembalikan seperti sebelum ini untuk menambah kapasiti penerbangan,” katanya dalam sesi soal soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Anthony berkata demikian menjawab pertanyaan tambahan Datuk Seri Ahmad Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang mengatakan adakah MOT bercadang untuk membenarkan kapal-kapal terbang lebih besar digunakan untuk penerbangan dari ibu negara ke Kota Kinabalu.
Menjawab soalan itu, Anthony berkata, Kementerian Pengangkutan tidak ada masalah dengan pemilihan kapal terbang yang digunakan oleh syarikat penerbangan di negara ini.
“Sama ada apa jenis kapal terbang yang dipakai terpulang kepada syarikat penerbangan, MOT tidak ada masalah dengan pilihan kapal terbang dibawah syarikat penerbangan.
“MAS umpamanya menggunakan kapal-kapal terbang besar untuk penerbangan antarabangsa,” jawabnya.
Menjawab soalan asal Ahmad Shafie, Anthony berkata, pelajar dari Sabah adalah penerima terbanyak bagi program bantuan FLYSiswa dibawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Menurutnya, pelajar dari Sabah adalah meliputi 42.7 peratus dengan 22,226 menerima bantuan itu dan Sarawak dengan 36.8 peratus atau 19,171 penerima.
“Dalam kalangan mahasiswa yang berasal dari Sabah, 17,388 sedang belajar di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) di Semenanjung Malaysia, 3,433 di Sarawak dan 1,405 di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Untuk mahasiswa yang berasal dari Sarawak pula, 16,027 sedang belajar di Semenanjung, 2,716 di Sabah dan 428 di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya lagi.
Untuk rekod, setakat semalam, sebanyak 35,183 daripada 52,030 mahasiswa yang layak atau 68 peratus telah menebus baucar FlySiswa.
Inisiatif FLYsiswa iaitu bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam, pelajar politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pelajar matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi laluan domestik di antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. – MalaysiaGazette