Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang membangunkan sistem tempahan dalam talian bagi penganjuran acara berskala besar di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, tempahan tersebut termasuk untuk penganjuran konsert.

“Soalnya sekarang bagaimana untuk penuhi kehendak promoter konsert. Saya rasa jawapannya adalah pendigitalan. Tahun lalu, mulai 15 Jun, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) melaksanakan tempahan dan bayaran dalam talian bagi fasiliti rekreasi dan sukan.

“Pada masa ini, PSM sedang bangunkan sistem tempahan untuk acara berskala besar di stadium utama dan ia dijangka mula dilaksanakan pada 2025. Ini berikutan tempahan secara manual (berdepan isu) antaranya disifatkan kurang telus.

“Dalam perbincangan saya dengan operator konsert, 16 syarikat menyatakan mereka mahu buat lebih banyak tempahan tetapi diberitahu sudah penuh dan tidak tahu pihak mana yang buat tempahan,” katanya.

Beliau berkata demikian Ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (Pakatan Harapan) yang ingin tahu apakah langkah diambil PSM untuk menampung permintaan tinggi bagi penganjuran konsert khususnya di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menurut Hannah, penganjuran konsert memberikan hasil kepada negara empat kali ganda lebih tinggi berbanding acara sukan mencecah RM10.647 juta.

“Sehingga Oktober tahun ini, RM2.147 juta hasil sewaan venue direkodkan membabitkan penganjuran sukan di Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC).

“Bagi tempoh sama, sebanyak 54 penganjuran acara bukan sukan direkodkan membabitkan kutipan sewaan venue RM8.5 juta iaitu empat kali ganda berbanding penganjuran acara sukan.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kutipan hasil sewaan venue adalah RM10.647 juta dengan hasil tahun ini paling tinggi pernah direkodkan KLSC,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast