KUALA LUMPUR – Kelantan Darul Naim (KDN) FC memberi jaminan membabitkan isu ketiadaan visa dan tunggakan gaji dialami jurulatih dan pemain akan diselesaikan dalam tempoh dua minggu.
Perkembangan itu disahkan ejen dari Korea Selatan, Myeongho Jeong menerusi kemaskini di Instagram Storynya.
Dia turut memaklumkan pasukan itu sudah mengadakan perbincangan dengannya membabitkan kemelut itu yang menjadi tular sejak minggu lalu.
“Pasukan menghubungi saya hari ini (semalam) dan mengadakan rundingan dengan berjanji untuk menyelesaikan semua isu ini dalam tempoh dua minggu.
“Saya tidak akan mengeluarkan sebarang komen negatif mengenai pasukan itu buat seketika. Jadi saya dan pemain akan menunggu (semua perkara itu diselesaikan),” tulis Jeong.
Sebelum ini, Jeong mendakwa jurulatih dan pemainnya terpaksa tinggal secara haram di negara ini apabila tidak mendapat visa daripada pasukan terbabit selepas enam bulan, minggu lalu.
Malah lebih memburukkan keadaan adalah pasukan terbabit tidak membayar gaji selama tiga bulan termasuklah sewa rumah dan juga bayaran kereta yang tidak dilunaskan.
“Jika perkara ini tidak diselesaikan pada minggu depan, saya akan mengemukakan aduan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Ini amaran terakhir,” katanya minggu lalu. – MalaysiaGazette