Datuk Abdul Halim Suleiman

KUALA LUMPUR – Kenyataan Parti Amanah Negara (Amanah) Johor yang tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) di negeri itu  disifatkan seperti mahu menjolok sarang tebuan dan isytihar perang.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman melihat Amanah Johor lebih sibuk untuk mengejar jawatan daripada mahu membantu rakyat atau setia pada prinsip kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.

Malah beliau turut menilai selera dan nafsu Amanah Johor untuk mendapatkan jawatan dalam kerajaan negeri tidak pernah pernah padam malah semakin berapi-api.

Ujarnya, kenyataan itu juga menggambarkan parti tersebut tidak kisah untuk melanggar sesiapa sahaja asalkan dapat apa yang diingini.

“Sepatutnya mereka mereka fokus untuk membela dan membantu rakyat seperti BN dan rakan-rakan lain dalam komponen PH,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Abdul Halim yang juga Ahli Dewan Negara, UMNO dan BN sudah lama berdiam diri daripada membangkitkan isu perebutan kerusi dan jawatan selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri berpesan supaya parti itu tidak menyentuh parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.

“Tapi nampaknya nasihat Zahid ni tak laku pada Amanah Johor dan mereka sengaja nak cari fasal lagi.

“Bagi saya, UMNO tak ada masalah untuk berperang dan bertarung dengan Amanah pada PRN atau PRU-16 nanti tetapi ini bukan masa untuk berpolitik,” tegasnya.

Dalam pada itu, Abdul Halim yang juga Ketua Bahagian UMNO Tebrau turut  mengingatkan Amanah Johor supaya tidak sombong kerana parti itu hanya menempel DAP dalam PH.

“Amanah Johor ini sebenarnya macam tak sedar diuntung. Dulu, PRU-15, Amanah hanya menang satu kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN sahaja di negeri ini.

“Itu pun bukan sebab Amanah ni kuat tapi lebih kepada ihsan DAP. Tapi sekarang Amanah nak berlagak macam juara.

“Sibuk mahukan jawatan dan kuasa dalam kerajaan negeri tapi khidmat kepada rakyat habuk pun tak ada. Harapkan ada seorang MP di Pulai dan seorang ADUN di Simpang Jeram tapi macam tak ada fungsi,” katanya.

Semalam, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan antara PH dan BN pada PRN Johor dan PRU akan datang kerana BN masih belum mahu membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

Malah, ujar beliau, tiada rundingan langsung berkenaan Kerajaan Perpaduan daripada pihak BN setakat ini walaupun selepas menang dalam PRK Mahkota baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. amanah ada hak menuntut bahagian nya . amanah perlu menyatakan hak nya walau pun di tentang umno . siapa sebenar nya tak sedar diri aku rasa bukan amanah tapi umno yang tak sedar diri itu. orang undi umno kerana ph . bukan kerana umno bn . kalau umno rasa kuat aku cabar pru16 nanti jangan gabung dengan ph . kamu bertanding solo . kalau menang kamu boleh jadidominan seperti dulu kembali . kalau kalah janga bimbang ph akan terima kamu kembali insyaallah.

Comments are closed.