KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen kerajaan yang ingin mengheret Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen perlu diputuskan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Itu jelas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor terhadap desakan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin mengheret Awang ke jawatankuasa tersebut.
“Saya serahkan kuasa untuk memutuskan perkara ini kepada speaker kerana melibatkan hukuman yang berat. Walaupun saya ada kuasa untuk memutuskan tapi saya serahkan Peraturan Mesyuarat 36 (12) kepada speaker untuk putuskan.
“Kita kembali ke aturan mesyuarat,” nasihat Ramli.
Peraturan Mesyuarat 36 (12) merujuk kepada menyatakan mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Majlis dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.
Kenyataan Ramli itu dibuat selepas Rayer bertegas untuk mengambil tindakan terhadap Awang yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang didakwanya mengelirukan Dewan Rakyat.
Selepas sesi soalan lisan berakhir, Rayer bingkas bangun mengatakan kenyataan Awang terhadap Ahli Parlimen DAP adalah fitnah jahat dan tidak berasas.
“Dalam perbahasan (Ahli Parlimen) Pendang, beliau telah mengeluarkan kenyataan menuntut satu siasatan SPRM terhadap kononnya wang RM94 juta yang dijumpai dalam rumah Menteri Sumber Manusia dan mengulangi kenyataan itu merujuk kepada Ahli Parlimen DAP.
“Saya minta Pendang (Awang) tarik balik dan minta maaf kerana saya tahu kenyataan itu secara tersurat dan tersirat ditujukan kepada (Ahli Parlimen) Batu Gajah,” katanya di Dewan Rakyat.
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan penemuan RM94 juta di kediaman bekas menteri seperti dinyatakan Awang.
SPRM dalam satu kenyataan menegaskan, ketua pesuruhjaya juga tidak pernah membuat sebarang kenyataan yang mendakwa RM94 juta itu ditemui di kediaman bekas menteri.
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 semalam, Awang Hashim (PN-Pendang) membangkitkan dakwaan penemuan wang tunai berjumlah RM94 juta yang dikaitkan dengan seorang bekas menteri daripada DAP.
Susulan itu, Rayer memberi tempoh 24 jam kepada Awang untuk mendedahkan nama pemimpin DAP yang didakwanya menyimpan wang di rumah.
Rayer menyifatkan Awang, ketika membuat dakwaan itu, sebagai bertindak semberono dan tidak bertanggungjawab serta menggunakan kekebalan di Dewan Rakyat untuk membuat tuduhan liar.
Beliau dipetik berkata tidak akan teragak-agak untuk mengemukakan usul agar Awang dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. – MalaysiaGazette