KUANTAN – Sebuah lubang besar dipercayai pada kedalaman 4.0 meter dikesan dekat Jalan Industri Semambu dekat sini.

Perkara dikongsikan menerusi video oleh @pubgnewinarea yang bimbang jika ada pengguna jalan raya terjejas akibat lubang besar yang didakwa berlaku sejak berbulan-bulan.

Perakam video berkenaan berharap kerajaan negeri mengambil tindakan segera mengambil kira keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

”Ini jalan, paip pecah lebih empat bulan, hari ini saya sudah hampr jatuh, ini lubang cukup bahaya. Kalau boleh kerajaan negeri Pahang tolong kasi tengok, wakil rakyat Semambu kasi fokus ini jalan

“Kalau orang bawa motosikal jatuh dalam ini mesti mati punya. Jangan tunggu sampai berlaku kejadian seperti di Kuala Lumpur, seorang warga asing jatuh dalam lubang baru hendak ambil tindakan,” katanya.

Video yang dimuatnaik itu menarik perhatian netizen dan  rata-rata bersetuju dengan pendapat pengadu.

Video tular itu mendapat perhatian Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir Razali Kassim yang bertindak turun padang bersama agensi terlibat Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Telekom Malaysia (TM bagi meninjau keadaan sebenar.

Razali Kassim ketika membuat tinjauan di lokasi Jalan Perindustrian Semambu pada semalam

Jelas Razali, lubang tersebut berpunca dari penyusupan pengaliran air melalui sesalur kabel telekomunikasi bawah tanah yang akhirnya menyebabkan berlaku mendapan.

”Semakan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR)  dan YP Maintenance (YPM) di tapak kejadian kerosakan ini mendapati lubang berlaku  dari sesalur kabel TM yang mengalirkan air dan menyebabkan tanah terhakis dan menjadi sinkhole berikutan lokasi adalah kawasan yang paling rendah.

”Sebelum ini JKR Kuantan telah memaklumkan kepada pihak TM melalui surat pada 8 Oktober 2024 dan 30 April 2024, selain laporan polis juga telah dibuat oleh YP Maintenance Sdn. Bhd. pada 10 Oktober lalu,” katanya.

Tambah Razali  beliau difahamkan pihak YPM juga telah memaklumkan kepada pihak TM untuk menyediakan pelan kawalan trafik  (TCP) di lokasi kerosakan.

Bagaimanapun, Razali memberi jaminan kerja-kerja pengalihan kabel akan dilakukan dalam tempoh seminggu oleh agensi terlibat dan proses penutupan jalan dilakukan dengan segera.

”TM pula melakukan kerja-kerja pengalihan kabel baharu dalam tempoh seminggu atau dua minggu

”Kerja-kerja penukaran kabel sepanjang 180 meter berada pada kedalaman tiga hingga empat meter akan dilakukan dan ia melibatkan kos RM250,000,” katanya.

Razali tidak menolak kegagalan mengalihkan kabel berkenaan timbul kerana TM memerlukan kelulusan peruntukan daripada pihak atasan terlebih dahulu

”Selepas kelulusan diterima, TM mula melantik kontraktor panel untuk memulakan kerja-kerja pembaikan segera.

”Setakat ini, kejadian ini tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa jadi saya berharap berharap kerja pembaikan ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast