Ahli keluarga mangsa MH370 hadir pada majlis 'MH370 Remembering 239 Lives 6 Years Gone' semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hotel Marriott Putrajaya, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 07 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Sebilangan kecil keluarga dan waris mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi enggan menerima pampasan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun tarikh tuntutan pampasan telah berakhir, terdapat waris penerbangan MH370 yang masih enggan mengemukakan tuntutan atas pelbagai sebab.

“Kementerian Pengangkutan mengambil sikap bahawa sekiranya waris-waris ini sanggup untuk menerima bayaran tersebut kita terbuka untuk berbincang dan menjadi pengantara antara syarikat penerbangan dan waris.

“Tapi ada sebilangan yang tidak sanggup atas beberapa sebab peribadi, mereka merasakan masih ada harapan untuk mereka menerima kepulangan ahli keluarga mereka,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Loke berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Chong Zhemin (PH-Kampar) pada persidangan Dewan Rakyat yang ingin tahu sama ada kerajaan masih berhasrat untuk meneruskan usaha pencarian pesawat malang berkenaan.

Anthony berkata, keraajan tidak pernah mengabaikan usaha untuk mencari bangkai pesawat MH370.

Kata beliau, sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baharu yang sahih dan kukuh diperoleh, maka operasi pencarian selanjutnya akan dipertimbangkan oleh kerajaan.

“Ini merupakan pendirian yang konsisten oleh Kerajaan Malaysia.

“Dalam hubungan ini, Kementerian Pengangkutan sedang merundingi tawaran daripada syarikat Ocean Infinity (United Kingdom) yang dikemukakan kepada MOT pada bulan Jun 2024 untuk meneruskan operasi pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat MH370 di satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip no find, no fee.

“Mengikut prinsip no find, no fee, Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui,” katanya.

Pada 2014, pesawat Boeing, B777 milik MAS yang membawa 239 penumpang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dikesan berpatah balik kira-kira sejam selepas berlepas dari KLIA Terminal 1.

Pesawat yang hilang itu dikesan berada di Pulau Pinang lalu menuju utara Sumatra sebelum dikesan menerusi isyarat satelit menuju ke selatan Lautan Hindi.

Menurut Anthony, lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan oleh syarikat Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang telah dibuat oleh pakar-pakar dan penyelidik yang dirujuk oleh syarikat tersebut.

“Cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity ialah cadangan yang kukuh dan boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here