Maimun melihat kesan warung makan miliknya yang roboh selepas insiden sebuah lori merempuh pelanggangnya yang sedang maka di Batu 8, Jalan Kuantan-Maran pada petang semalam.

KUANTAN – Seorang peniaga masih tidak menyangka seorang pelanggan setianya selama berbelas tahun meninggal dunia selepas diseret lori ketika minum di warungnya di Jalan Batu Jalan Kuantan-Maran dekat sini semalam.

Maimun Besar, 56, masih terbayang-bayang kelibat mangsa yang selalu minum sambil mengira dan membuat pelan projek bengkel di atas meja di warungnya.

Akibat kecederaan, Affendi Abd Wahab, 51, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Maimun Besar

”Macam biasa arwah minum dan minta sekeping kertas dan pen untuk menulis, itulah rutin dia kalau minum di sini. Ketika kejadian ada empat pelanggan sedang menikmati minum petang. Saya baru sahaja hidangkan pesanan mereka di meja dan  kembali ke dapur untuk merebus lada kering untuk membuat nasi lemak.

“Namun secara tiba-tiba saya mendengar bunyi hentakan kuat dan melihat warung musnah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau yang sudah mengusahakan warung makan lebih 11 tahun itu berkata, kejadian berlaku begitu pantas namun bersyukur kerana dirinya terselamat dalam tragedi itu.

“Kejadian betul-betul sekelip mata, saya tidak sangka sungguh, pelanggan sedang minum tidak sempat lari kerana lori bergerak laju menuju ke meja Affendi.

“Saya cemas melihat Affendi terbaring berlumuran darah dan rakannya serta pemandu lori cedera,” katanya yang masih trauma dengan insiden tersebut.

Semetara itu, seorang lagi saksi, Lai Yoke Kwai, 59, menarik nafas lega kerana terselamat dalam insiden terbabit.

Berkongsi detik cemas itu, pekerja bengkel kenderaan bersama seorang lagi rakannya sempat menyelamatkan diri sebaik sahaja dentuman kuat di persimpangan jalan.

“Saya nampak lori itu datang dengan laju  terus langgar ke arah warung. Mujur saya dengan kawan tidak cedera kerana sempat lari. Kalau saya tidak lari mesti jadi mangsa.

”Kami dengan Fendi (mangsa) selalu minum petang di sini sudah bertahun-tahun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lelaki dirempuh lori ketika sedang makan meninggal dunia

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast