Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi merasmikan Persidangan dan Pameran Jalan Malaysia (MRC) ke-12 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kejuruteraan Jalan Malaysia (REAM)
dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan CIDB  Malaysia telah menjayakan edisi ke-12 Persidangan dan Pameran Jalan Malaysia (MRC) 2024 selama tiga hari bermula hari ini.

Acara dwitahunan itu merupakan platform utama bagi menjalin rangkaian dan perkongsian penyelidikan, idea dan inovasi teknologi terkini dalam pembangunan, reka bentuk, pembinaan, pengurusan dan penyelenggaraan infrastruktur jalan raya dan lebuh raya.

Acara berkenaan dirasmikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kata kenyataan REAM hari ini.

Bertemakan Driving Innovation for Better Roads, MRC 2024 menekankan kepentingan inovasi dalam mempertingkatkan kualiti, keselamatan dan kelestarian jalan raya di samping mengenal pasti kaedah mengurangkan kos dalam pembinaan infrastruktur jalan raya di Malaysia.

Lebih 1,000 profesional daripada 20 negara turut hadir menjadikan MRC 2024 sebagai acara penting yang bakal mengubah landskap industri jalan raya tempatan ke persada global.

Antara tarikan utama adalah 100 pameran antarabangsa yang
menampilkan kepakaran, produk dan inovasi terkini.

Pameran itu merupakan platform ideal untuk mempromosikan jenama, menjalin jaringan kerjasama baharu serta bertukar idea bagi membangunkan industri jalan raya yang lebih mampan.

Salah satu sorotan MRC 2024 adalah Anugerah Kecemerlangan
Kejuruteraan Jalan REAM yang telah mengiktiraf projek-projek
kejuruteraan jalan raya terbaik di Malaysia sejak diperkenalkan pada tahun 2002.

Anugerah dibahagikan kepada dua kategori iaitu projek bernilai kurang daripada RM100 juta dan projek bernilai lebih daripada RM100 juta.

MRC 2024 juga menampilkan pembentangan khas mengenai
Kecerdasan Buatan (AI) dalam Kejuruteraan Jalan oleh REAM Young Engineers & Professionals (REAM YEP) serta Pertandingan Reka Bentuk Jalan untuk pelajar universiti.

Pertandingan tersebut menggalakkan idea kreatif, konsep dan teknologi inovatif yang dapat meningkatkan keselamatan dan kelestarian alam sekitar di sepanjang jajaran jalan raya yang dibina.

Sehubungan itu, peserta persidangan juga berpeluang mengikuti
lima lawatan teknikal ke projek-projek ikonik iaitu Laluan LRT Shah Alam (LRT 3), Projek ECRL, Pusat Penyelidikan Pavement UEM Edgenta, Merdeka 118 dan Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE).

Persidangan kali ini mengetengahkan penceramah utama termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim, Presiden Iwasaki Consulting Services, Randy Iwasaki, wakil PIARC, Nazir Ali, Ketua Pengarah JKR, Datuk Ir. Roslan Ismail, Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir. Sazali Harun.

Persidangan itu membincangkan pelbagai topik menarik seperti Teknologi Pavement Inovatif, Mobiliti Lestari, Inisiatif Keselamatan Jalan Raya Inovatif, Teknologi Jambatan Maju dan Sistem Jalan Pintar.

Dengan pengisian yang padat dan kaya dengan inovasi serta peluang kolaborasi, MRC 2024 berpotensi menjadi mercu tanda penting dalam memacu masa depan infrastruktur jalan raya Malaysia ke tahap yang lebih maju, mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here