KUALA LUMPUR – Kemunculan pertama pelakon sensasi, Fazura yang menyanyikan lagu baharunya, Bertahan Demi Cinta ketika menjadi tetamu jemputan dalam program temu bual bersama Sea Today di Jakarta, Indonesia mencuri perhatian netizen.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna @newsnugget di laman TikToknya, kelihatan Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin membuat persembahan single terbaharunya itu secara siaran langsung.
Bagaimanapun, vokalnya dikritik dalam kalangan netizen yang menyifatkan ibu kepada seorang cahaya mata itu tidak mempunyai nada yang merdu.
Terdahulu, Fazura muncul dalam program temu bual bersama Sea Today di Jakarta, Indonesia untuk mempromosikan lagu terbaharunya, Bertahan Demi Cinta.
Dalam temu bual itu, dia mendedahkan tidak menyesal hubungan dengan bekas suaminya, Fattah Amin berakhir selepas lebih tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Pasangan selebriti itu bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di Shah Alam, baru-baru ini.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya. – MalaysiaGazette