Ketua Penerangan Pas Selangor, Zurk Ahmad. - Foto: FB Zurk Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerajaan didesak berani bertindak adil kepada seluruh rakyat seperti yang sering dicanang-canangkan dengan menoktahkan isu peruntukan yang dinafikan kepada pembangkang.

Ketua Penerangan Pas Selangor, Zurk Ahmad berkata, pihaknya kecewa dengan isu itu yang berterusan termasuk dalam pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Menurut beliau, memasuki usia hampir dua tahun pemerintahan Kerajaan MADANI, ahli Parlimen di pihak kerajaan terus mendapat kelebihan berat sebelah dalam menjalankan tugas mereka berbanding ahli Parlimen pembangkang.

Sedangkan, ujarnya, urusan dan keperluan rakyat di setiap kawasan parlimen adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan secara umumnya.

“Semua ahli Parlimen yang telah dipilih secara demokrasi oleh rakyat hanya menjadi wakil kepada kerajaan yang akan menjaga kebajikan rakyat di kawasan masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah Zurk, adalah tidak wajar sebahagian rakyat negara ini di setiap kawasan pembangkang terus dihukum dengan menafikan peruntukan yang wajar kepada setiap ahli Parlimen mereka.

Katanya, seluruh rakyat mempunyai hak dan keperluan yang dipertanggungjawabkan kepada Ahli Parlimen untuk diuruskan.

“Hukuman atas dendam politik yang masih berlarutan sehingga tahun kedua ini membuktikan Kerajaan MADANI tidak profesional dan matang dalam membezakan urusan pentadbiran negara dan politik dengan pihak pembangkang,” katanya.

Sehingga kini, isu berkenaan peruntukan kepada pembangkang masih belum menampakkan jalan penyelesaian selepas Perikatan Nasional (PN) sebulat suara menolak dua draf cadangan memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung perkara itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, keputusan menolak dua draf cadangan MoU yang membabitkan antara kerajaan dengan parti PN dan antara kerajaan dengan semua ahli Parlimen PN itu dibuat atas beberapa sebab.

Antaranya, kata Hamzah, cadangan MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral dan agama selain boleh disalah tafsir, salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast