Sapiah menyempurnakan gimik perasmian menjahit sebagai simbolik penyerahan secara rasmi pusat oleh pihak Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA) kepada JAKOA di Kuantan hari ini.

KUANTAN –  Pusat Latihan Jabatan Kemajuan Orang Asli Paya Bungor (PLPB) di sini telah beroperasi semula bermula sejak 1 November lalu setelah hampir sedekad ditutup.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Datuk Sapiah Mohd Nor berkata, pengoperasian semula PLPB itu sekali gus dapat meningkatkan aspek kemahiran serta pendidikan kepada komuniti itu di seluruh negara.

Seramai 530 orang pelatih telah mengikuti Kursus Jahitan Pembuat Pakaian Wanita (SKM) sejak tahun 1999 dan 40 orang daripada mereka berjaya menjadi usahawan dalam bidang jahitan sehingga kini.

”Dengan beroperasinya pusat latihan ini, PLPB dapat menyediakan fasiliti bagi latihan kemahiran untuk kursus-kursus jangka panjang dan kursus jangka pendek kepada belia beliawanis Orang Asli.

”Fungsi penubuhan dan syarat kemasukan ke PLPB dengan menyediakan kursus jangka panjang seperti melaksanakan kursus Jahitan Pembuat Pakaian Wanita, Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 sehingga Tahap 4,” katanya ketika sidang media di PLPB Paya Bungor hari ini.

Tambah Sapiah, syarat kemasukan bagi kursus jahitan Pembuat Pakaian Wanita Tahap 2 adalah keutamaan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimanapun kelulusan minima Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta syarat boleh membaca dan menulis akan dipertimbangkan untuk mengikuti kursus berkenaan.

Manakala jangka masa Kursus Pembuat Pakaian Wanita bagi Sikil Kemahiran Malaysia (SKM) 2 adalah selama enam  bulan manakala SKM Tahap 3 adalah dalam tempoh 12 bulan.

Untuk rekod, PLPB telah dirasmikan pada 11 September 1969 dan ditutup sejak Mei 2015 bagi laluan kerja-kerja pembinaan dan naik taraf yang menelan kos RM26 juta.

Pada 26 September lalu, PLPB telah menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan bersedia menerima pelatih-pelatih baru.

Majlis Penyerahan Kunci diadakan bersama gimik perasmian menjahit sebagai simbolik penyerahan secara rasmi pusat oleh pihak Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA) kepada JAKOA hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA  Berhad, Idris Lasim.

Sapiah seterusnya berharap pusat berkenaan bakal memberi manfaat kepada kumpulan sasar dan akan dapat membentuk masa depan belia Orang Asli dengan kemahiran serta membantu mereka menjana pendapatan sendiri.

Sementara itu, beliau memberi jaminan yang JAKOA akan terus memberi perhatian dan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir susulan fenemena Monsun Timur Laut (MTL) bermula hari ini.

Pihaknya telah menyediakan bantuan daripada segi logistik, kebajikan dan bekalan makanan bagi untuk mengelakkan penduduk di perkampungan Orang Asli (POS) yang sering terjejas banjir mengalami kesulitan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast