KUALA LUMPUR – Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azizun Mohamad hari ini berdepan pertuduhan menyalahgunakan wang sitaan RM613,000 berkaitan Op Green yang membongkar kes penipuan pendataran kenderaan diesel dalam sistem mySikap pada 2019.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dekat sini.
Kesalahan tersebut didakwa berlaku di antara 1 Jun 2020 sehingga 9 Februari 2024 di Cyberjaya, Daerah Sepang, Selangor.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, dikenakan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda.
SPRM dalam satu kenyataan menegaskan pihaknya mengambil serius dan tidak berkompromi terhadap isu integriti dan etika kerja semua pegawainya.
“Harus ditegaskan, SPRM tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang melanggar peraturan dan undang-undang bagi memastikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada Suruhanjaya terus terpelihara.
“Tindakan ini mencerminkan kesungguhan SPRM dalam menegakkan keadilan dan membanteras rasuah dan salah guna kuasa tanpa pilih kasih.
“SPRM bertekad mengekalkan ketelusan dalam setiap tindakan bagi memastikan keadilan dan proses perundangan dilaksanakan sewajarnya,” kata agensi membanteras rasuah itu hari ini. – MalaysiaGazette