KOTA BHARU – Polis menumpaskan kegiatan penyeludupan kasut dan beg tangan pelbagai jenama mewah yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta semalam.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata rampasan dilakukan selepas polis mengesan dan menahan sebuah lori jenis Isuzu pada 1.30 tengah hari di Jalan Ismail Petra di Tanah Merah dekat sini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam lori ditemui sebanyak 9,369 pasang kasut pelbagai jenama seperti Nike, Adidas, Timberland dan 1,866 unit beg tangan dengan jenama seperti LV, Chanel, Coach yang disyaki diseludup dari Thailand tanpa dokumen sah.
“Kesemua barangan jenama mewah itu juga disyaki tiruan dan dibawa ke Malaysia untuk pasaran tempatan, manakala pemandu lori ditahan disyaki menjadi penghantar untuk menyeludup kesemua barangan itu.
“Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagang 2019 dan kesemua barangan rampasan dibawa ke Komtak (Kompeni Taktikal) Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata PGA merampas sebanyak 13 ekor lembu dianggar bernilai RM175,500 selepas menahan sebuah lori pada kira-kira 2 pagi di Kampung Machang Gacoh Meranti, Pasir Mas.
Beliau berkata kesemua lembu seberat 11,700 kilogram itu dipercayai diseludup dari Thailand tanpa dokumen yang sah.
“Suspek seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup haiwan itu ke pasaran tempatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
“Kesemua barang rampasan dibawa ke Komtak Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.- BERNAMA