GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang bakal memperkenalkan produk pelancongan baharu berupa laluan eksplorasi untuk meningkatkan pengalaman pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Wong Hon Wai berkata, terdapat minat yang semakin berkembang untuk membangunkan laluan baharu itu sebagai tarikan dalam era pelancongan penyelidikan.
Ia melibatkan sektor pelancongan secara lebih mendalam berbanding hanya mengambil gambar atau memuat naik di media sosial.
“Pelancongan kini bukan hanya sekadar mengambil gambar atau memuat naik di media sosial seperti Instagram tetapi mereka lebih tertarik kepada penerokaan budaya yang lebih mendalam termasuk penerangan terperinci mengenai sejarah produk seperti durian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pembukaan Persidangan Pelancongan Penyelidikan Dunia (WRTC) 2024 yang dianjurkan oleh World Research Travel Organisation (WRTO) SPICE Setia, di sini, hari ini.
Persidangan itu dihadiri oleh delegasi dari 13 negara termasuk Australia, China, Jerman, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Macau, Malaysia, Myanmar, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, dan Amerika Syarikat.
Fokus WRTC 2024 adalah pada kelestarian dan tanggungjawab alam sekitar. Para delegasi juga berpeluang merasai pengalaman lawatan pra-persidangan ke beberapa lokasi di negeri ini, termasuk Pasar Chowrasta yang tertua dalam negara yang sejajar dengan komitmen persidangan untuk mempromosikan pelancongan hijau dan lestari.
Persidangan ini turut memberikan pandangan yang lebih luas tentang pemeliharaan warisan, biodiversiti serta gabungan antara sejarah dan kemodenan.
Selain itu, sesi pertemuan perniagaan antara pameran dan pembeli juga diadakan sebagai sebahagian daripada program tersebut. – MalaysiaGazette