KUALA LUMPUR – Usul Datuk Seri Shahidan Kassin (PN-Arau) untuk mengaitkan RSN Rayer (PH-Jelutong) sebagai biadap dengan menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (4) tidak diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng memberi alasan bahawa tuduhan itu tidak berasas.
“Saya mendapati kenyataan kurang ajar Rayer kepada (Ahli Parlimen) Kuantan semasa perbahasan pada Selasa 29 Oktober adalah bersifat menegah dan melarang Kuantan daripada bersikap kurang ajar.
“Jelutong bukan menuduh Kuantan telah bersikap kurang ajar, saya dapati Jelutong tidak melanggari Peraturan Mesyuarat 36 (4),” katanya di Dewan Rakyat, petang tadi.
Gembira dengan keputusan itu, Rayer mengucapkan terima kasih kepada Alice sambil tersenyum.
“Terima kasih Speaker,” ujar Rayer.
Alice berkata, sekiranya Shahidan tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, beliau boleh membawa usul berkenaan kembali ke Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Awal pagi tadi, Shahidan membuat kenyataan bahawa Rayer telah mengeluarkan perkataan yang dahsyat, menjijikkan, menjemukan rakyat yang melihat dan tidak juga menarik balik kenyataan yang dilontarkan kepada Wan Razali Wan Nor.
Shahidan juga menggelar Ahli Parlimen DAP itu tidak mahu menarik balik kenyataan sebagai ‘biadap’.
Rayer minggu lalu mendakwa ucapan Wan Razali mengelirukan kerana mengaitkan isu kewarganegaraan dengan insiden mengibar bendera China yang berlaku di Johor Bahru, Johor dan Teluk Intan, Perak, baru-baru ini.
Sebelum itu, Wan Razali yang membahaskan Belanjawan 2025 sambil memetik laporan berita mengenai sasaran Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyelesaikan 17,000 permohonan kewarganegaraan tahun ini.
Semalam, Chong Zhemin (PH-Kampar) mengemukakan usul bagi merujuk Wan Razali ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengeluarkan kenyataan perkauman dan mengelirukan dewan pada 21 Oktober lalu.
Chong berkata, dia mengemukakan usul itu kepada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) dan 36 (12), susulan kenyataan Wan Razali berhubung insiden mengibarkan bendera China di Teluk Intan baru-baru ini. – MalaysiaGazette