KUALA LUMPUR- Dr Suzana Idayu Wati Osman dilantik sebagai Pengarah Besar Felda yang baharu berkuatkuasa hari ini, menjadikan beliau wanita pertama dilantik ke jawatan berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Felda itu menggantikan Datuk Amiruddin Abdul Satar yang menamatkan perkhidmatan, 14 Oktober lalu.
Felda dalam kenyataannya berkata, pelantikan Suzana Idayu Wati bakal memberi impak positif yang berkekalan kepada 112,638 peneroka serta generasi masa depan mereka di seluruh negara.
“Ini mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan wanita dalam menggerakkan pembangunan ekonomi negara. Langkah ini seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan penyertaan wanita dalam semua sektor sebagai pemacu utama ke arah Malaysia yang progresif dan mampan,” kata kenyataan itu hari ini.
Suzana Idayu Wati mempunyai pengalaman luas dalam industri perladangan sejak menyertai Felda sebagai Pegawai Tadbir pada 1998 sehingga memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pelaburan Felda pada 2008.
Beliau kemudian menyertai FGV Holdings Berhad (FGV) sebagai Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan dan beberapa jawatan penting di FGV sebelum menjadi Ketua Pegawai Pelaburan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Kepimpinan beliau diperkuatkan dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam pelbagai sektor termasuk perbankan, kewangan, pelaburan dan pengurusan aset institusi.
Suzana Idayu Wati yang berkelulusan Doktor Falsafah dan Sarjana dalam Kewangan dari Universiti Putra Malaysia juga menganggotai pengurusan kanan dan ahli lembaga pengarah di lebih 35 entiti di dalam dan luar negara.
Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dan ahli Lembaga Pengarah Felcra. -MalaysiaGazette