SHAH ALAM – Pendakwah selebriti, Da’i Syed mengaku agak tertekan dan hilang semangat sebaik sahaja dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas pertuduhan merogol seorang wanita, kira-kira lima tahun lalu.
Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful berkata, perasaan adalah lumrah dirasai setiap manusia, apatah lagi insiden itu mengubah kehidupannya dengan kehadiran cahaya mata yang baru berusia tiga bulan.
Bagaimanapun Da’i Syed sangat bersyukur apabila beliau dikurniakan seorang isteri yang sentiasa memberi semangat untuk melalui dugaan itu.
“Keadaan mental saya Alhamdulillah okay sahaja, sebagai manusia biasa, ada kalanya saya down, sedih dan sebagainya itu.
“Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah kerana beri saya isteri yang baik, Hanna seorang wanita, isteri dan ibu yang baik kepada saya, tambahan pula Allah kurniakan anak kepada kami.
“Alhamdulillah itu sebagai satu kesempurnaan kepada saya untuk kuatkan diri, hati dan minda saya. Sebab itu sekarang saya masih ada di sini,” katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah, di sini, hari ini.
Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di i-City, Seksyen 7 di sini, jam 1.35 pagi, 11 September 2019.
Da’i Syed didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Menurut Da’i Syed, kehadiran cahaya mata ketika Mahkamah Sesyen menjatuhkan pertuduhan jenayah itu satu tamparan hebat buat beliau, kerana khuatir masa hadapan anaknya mungkin terjejas akibat kes yang dihadapinya.
“Sangat mencabar bagi saya, saya buat benda ini (rayuan) pun bukan untuk diri saya, sampai ke tahap Mahkamah Tinggi, saya lalui perkara ini untuk saya, juga keluarga, isteri dan anak saya.
“Saya tak nak anak saya besar nanti membesar dalam keadaan trauma atau sedih dengan perkataan-perkataan orang. Saya berada di sini untuk membersihkan nama saya,” katanya.
Beliau memberitahu, walaupun proses rayuan kesnya masih panjang, namun Da’i Syed terharu dengan penerimaan keluarga mentuanya yang sentiasa memberi semangat dan menyokongnya.
“Penerimaan keluarga semua okay, saya baru balik kampung minggu lepas di Johor, mentua saya, mereka sangat menyokong.
“Saya ucapkan terima kasih juga kepada ibu dan ayah mentua saya, banyak sokong dan mendoakan kami terutamanya saya Alhamdulillah dapat ayah ibu mentua yang baik,” katanya.
Selain itu, Da’i mendedahkan disebabkan pertuduhan yang dihadapinya ketika ini, beliau terpaksa menolak semua tawaran yang diberikan pelbagai pihak.
“Saya banyak habiskan masa dengan anak isteri, keluarga, tak ada apa-apa job, banyak dilepaskan,” katanya.
Sebaliknya beliau dan isteri akan memulakan semula perniagaan perhiasan wanita dari Mesir untuk menyara perbelanjaan keluarganya bermula minggu ini.
“Insya-Allah saya dalam perancangan bersama isteri saya, kami akan mulakan balik berniaga jual gelang perhiasan wanita dari Mesir dan Insya-Allah saya akan mulakan live tak lama lagi. Insya-Allah minggu ini akan live di TikTok.
“Jadi orang ramai semua yang ada dekat sini yang menonton saya, berilah sokongan perniagaan kami, boleh beli, dapatkan barang-barangan barang kemas dari Kaherah, Mesir,” katanya.
Ditanya tentang kehidupannya sejak bergelar sebagai seorang bapa, beliau tidak terkecuali untuk bangun tengah malam dan menidurkan anaknya selepas disusukan.
“Itu biasa, anak saya bangun kadang dua kali, lepas Hana susukan, kerja saya untuk sendawakan dia.
“Jadi banyak habiskan masa dengan anak dan isteri, sama-sama tolong bantu dia, tolong dodoikan, tidurkan dia,” katanya.
Dalam pada itu, Da’i Syed sudah lali dengan kecaman dan pelbagai kata nista yang dilemparkan netizen terhadap dirinya, sejak beliau menceburkan diri dalam industri hiburan itu.
“Nak tak nak, kita baca, tapi tak simpan dalam hati, saya hanya membaca sahaja (komen).
“Saya dikecam bukan hari ini sahaja, sudah lama dikecam dari bermula saya masuk program dan sudah biasa dikecam. Ada perasaan sedih juga, tapi lalui kehidupan itu macam biasa,” katanya. – MalaysiaGazette