Pasukan peguam mewakili ibu tunggal, Loh Siew Hong di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Ibu tunggal, Loh Siew Hong membuat bantahan dengan memfailkan afidavit berikutan tindakan kerajaan negeri Perlis yang mahu mencabar isu penukaran agama tiga anaknya kepada Islam secara unilateral sebelum ini.

Difahamkan, afidavit bantahan itu difailkan kepada Mahkamah Persekutuan hari ini.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, salah seorang peguam mewakili Siew Hong, Gunamalar Joorindanjn berkata, tindakan ini berikutan permohonan kerajaan negeri Perlis pada 30 Oktober lepas yang telah memohon semakan di Mahkamah Persekutuan yang sebelum ini sudah menolak rayuan pemohon dan tiga lagi pihak lain.

“Benar, anak guam kami sudah failkan bantahan pada hari ini. Mahkamah sudah menetapkan 29 November ini bagi pengurusan kes,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini peguam mewakili kerajaan negeri Perlis, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan permohonan semakan difailkan semalam mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Beliau berkata kerajaan Perlis telah memberikan kebenaran kepadanya untuk memulakan permohonan semakan bagi pihak mereka.

Kerajaan negeri memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan sebelum ini, yang menolak kebenaran merayu permohonan yang difailkan oleh kerajaan negeri dan tiga pihak lain.

Permohonan itu ditolak pada 14 Mei lepas, menghalang pemohon termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pendaftar mualaf Negeri Perlis, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin daripada meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 10 Januari.

Sebelum ini, tiga anak Siew Hong telah ditukar agamanya oleh bapa mereka secara unilateral selepas lelaki itu memeluk agama Islam pada tahun 2020.

Mahkamah Rayuan mengetepikan penukaran agama mereka secara unilateral kepada Islam oleh bekas suami Siew Hong  selepas mendapati ia adalah menyalahi undang-undang.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang mempengerusikan panel tiga hakim ketika itu berkata mahkamah terikat dengan keputusan kes Indira Gandhi bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa mesti diperoleh sebelum kanak-kanak di bawah umur ditukar agama.

Siew Hong merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 11 Mei 2023 yang menolak permohonan semakan kehakimannya untuk mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam oleh Nagahswaran tanpa persetujuan beliau.

Ibu tunggal itu, yang memfailkan permohonan pada 25 Mac 2022, menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Kerajaan Negeri Perlis sebagai responden.

Siew Hong memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya beragama Hindu dan Nagahswaran tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast