KUALA LUMPUR – Program BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi iaitu pemberian bantuan tunai sebanyak RM2,400 setahun kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak termasuk petani kecil dan pekebun kecil komoditi mendapat sambutan hangat sejak ia dilaksanakan Jun lalu.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam tempoh empat bulan pelaksanaannya, sejumlah 35,000 penerima telah diluluskan dengan bayaran sejumlah RM16.8 juta.
“Bantuan tunai RM200 secara bulanan ini dapat mengimbangi kesan kenaikan harga diesel tanpa menjejaskan pendapatan boleh guna kumpulan sasar.
“Untuk makluman Yang Berhormat, setakat 30 September 2024, 35, 000 penerima BUDI Agri-Komoditi telah diluluskan dalam tempoh empat bulan pelaksanaan sejak Jun 2024 dengan jumlah bayaran disalurkan adalah sebanyak RM16.8 juta ringgit,” jawab Anwar dalam jawapan bertulis semalam.
Anwar menjawab pertanyaan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) yang mahu kerajaan memperincikan jumlah pekebun kecil atau petani yang telah mendaftar program BUDI dan jumlah subsidi yang telah dibayar kerajaan sehingga kini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, antara faktor permohonan BUDI Agri-Komoditi ditolak adalah disebabkan tiada rekod sebagai petani kecil atau pekebun kecil komoditi di bawah pangkalan data GeoAgro, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (atau KPKM) dan agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (atau KPK).
“KPKM dan KPK juga sedang giat mengadakan sesi libat urus dan turun padang bersama-sama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (atau LHDNM) bagi membolehkan pendaftaran para petani dan pekebun dapat dibuat secara langsung,” katanya lagi.
Semenjak Jun lalu, sebanyak lebih 200 sesi telah diadakan oleh KPKM dan KPK serta jabatan dan agensi di pelbagai lokasi seluruh negara.
Pada masa yang sama, pemohon juga boleh terus ke Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk mendapatkan khidmat pendaftaran permohonan melalui kaunter khas yang telah disediakan di setiap negeri. – MalaysiaGazette