Bekas pembantu penyelidik kepada Perdana Menteri, Muhammed Yusoff Rawther dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan selepas Polis menemui dua pucuk pistol dan dadah dalam kenderaan dinaikinya pada minggu lalu. Foto SADIQ SANI, 12 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) akan membuat bantahan terhadap permohonan bekas pegawai penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther yang cuba membatalkan perintah tiada ikat jamin di bawah Seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebelum ini, Muhammed Yusoff mencabar kesahihan Seksyen 41B akta tersebut dengan dakwaan ia tidak berperlembagaan kerana tidak membenarkan permohonan ikat jamin.

Mahkamah Tinggi di sini dimaklumkan tentang bantahan oleh AGC hari ini, media dimaklumkan mahkamah telah menetapkan pengurusan kes pada 20 Januari selepas kerajaan membantah saman pemula ini.

Pada 12 September lalu, Yusoff Rawther yang pernah bekerja sebagai pegawai penyelidik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan mengedar dadah dalam kenderaan dinaikinya pada Ogos lepas.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 305 gram di kawasan tempat letak kereta di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pada jam 10.15 pagi 6 September lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.  -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here