Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu trend aliran migrasi dalam negeri melibatkan luar bandar kini didapati semakin menurun.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan (DOSM) pada 2022.

“Kekurangan itu direkodkan sebanyak 3.2 peratus pada 2020 kepada hanya 2.4 peratus pada 2022,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 di peringkat kementerian di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Ahmad Zaid, melalui Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 dan Pelan Strategik KKDW 2021 kerajaan telah melaksanakan fokus berstrategi.

Ahmad Zahid menambah, langkah itu penting bagi masyarakat luar bandar mempunyai akses kepada infrastruktur asas dan kemudahan sosial yang setanding dengan kawasan bandar.

“Bagi golongan belia, usaha pengukuhan dan pemantapan pelaksanaan Program Pendidikan Latihan Teknikal dan Konvensional (TVET) telah dibawa ke kawasan luar bandar.

“Di samping itu, kita juga membangunkan ekonomi luar bandar melalui pelaksanaan beberapa program antaran Program Pendigitalan Usahawan di bawah Program Desamall,” katanya lagi.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast