KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membangunkan aplikasi yang boleh diakses oleh mangsa banjir bagi mengetahui lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) yang belum penuh.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sudah ada syarikat yang menawarkan untuk membangunkan aplikasi berkenaan.
“Ini adalah idea yang bijak. Memang ada syarikat yang menawarkan aplikasi sistem itu dan Insyallah kita akan gunakannya,” katanya sebagai respon semasa sesi jawapan-jawapan perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah mencadangkan supaya sistem sedemikian diwujudkan bagi memudahkan mangsa banjir.
Mohd Shahar berkata, cadangan itu disuarakannya susulan aduan yang diterima daripada mangsa banjir di kawasannya apabila mendapat tahu PPS berdekatan kawasan masing-masing penuh, sekali gus menyusahkan mereka.
“Bolehkah YB yang banyak idea mewujudkan pelbagai dasar ini supaya kita buat aplikasi muda yang boleh menunjukkan real time, update (kemas kini) kedudukan PPS yang belum penuh untuk mangsa. TInggal di PPS akan merujuk bantuan yang diberikan kerajaan nanti,” katanya.
Menurut Mohd Shahar, kerajaan boleh mengadakan kerjasama dengan universiti tempatan untuk membangunkan aplikasi tersebut. – MalaysiaGazette