Pelajar dari Kolej Islam Sultan Alam Shah tekun membaca ayat suci Al-Quran pada Hari Nuzul Quran ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 28 MAC 2024.

Oleh: Prof. Madya Dr Mohd Khairul Naim Che Nordin

Dalam Islam, soal keyakinan yang tepat lagi benar sangat penting bagi memastikan apa yang diyakini sesuai dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Oleh kerana itu, persoalan tentang akidah telah dan akan terus dibincangkan oleh umat Islam. Antara polemik yang sering muncul adalah tentang kedudukan Asha’irah sebagai aliran akidah yang menjadi pegangan arus perdana umat Islam dari dulu sehingga kini. Mengapakah pegangan akidah perlu dinisbahkan kepada aliran tertentu?

Mengapa Asha’irah dianggap sebagai pegangan akidah yang benar dan mewakili pegangan umum umat Islam. Dalam penulisan ini akan dijelaskan dua persoalan utama
di atas. Namun sebelum dibincang lanjut berkenaan Asha’irah adalah penting untuk kita fahami maksud dan hakikat akidah terlebih dahulu.

Secara bahasa, akidah berasal dari perkataan ‘aqada – ya’qidu yang bermakna ikatan. Dalam bahasa Arab, perkataan ini menunjukkan makna keteguhan, ketentuan, dan kekuatan. Ibn Faris dalam Mu’jam Maqayis al-Lughah berkata, “Huruf ‘ain, qaf, dan dal memiliki makna yang menunjukkan kekuatan dan keteguhan.” Manakala secara istilah, akidah merujuk kepada perkara-perkara yang diwajibkan bagi seorang Muslim untuk dipercayai dan diyakini kebenarannya dalam hal-hal ghaib.

Akidah ini mencakupi rukun iman yang disebut dalam hadis Jibril iaitu beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat, dan
takdir yang baik serta buruk. Perkara yang diimani ini disebut akidah kerana seseorang mukallaf (yang telah dibebani kewajiban agama) perlu mengikat hatinya dengan keimanan ini sehingga tidak wujud keraguan sedikit pun. Ini kerana keraguan dalam sebahagian perkara tersebut, seperti iman kepada Allah atau kepada para rasul, atau menolak sebagiannya, seperti menolak takdir, akan membawa implikasi kekufuran dan kesesatan.

Namun bagaimana akidah boleh diaplikasi dalam kehidupan seharian? Jika rukun iman membentuk akidah seorang Muslim, maka pengamalan akidah ini memerlukan keselarasan antara prinsip akidah dengan kehidupan Muslim dalam pelbagai aspek. Dalam ilmu pengetahuan, akidah menuntut agar wahyu dijadikan sumber pengetahuan yang wajib dipercayai, baik berkaitan dengan masa lalu yang tidak dapat dijangkau atau masa depan yang tidak kita ketahui.

Dalam bidang ibadah, akidah menuntut agar seorang Muslim menjaga ketetapan yang telah ditentukan oleh wahyu dalam pelaksanaan ibadah, sama ada dalam bentuk, jumlah, mahupun waktunya. Mereka yang melakukan ibadah juga perlu menghadirkan seluruh rasa tunduk, khusyuk, serta cinta kepada Allah SWT. Manakala dalam aspek tingkah laku peribadi dan hubungan sosial, akidah menuntut agar seorang Muslim berperilaku berdasarkan nilai-nilai yang telah ditetapkan agama; seperti sabar menghadapi musibah, reda terhadap ketetapan Allah yang tidak dapat ditolak, menjauhi khianat dan dusta, serta melakukan kebajikan seperti memberi makan kepada jiran yang kesusahan.

Kefahaman terhadap kerangka akidah ini telah disusun dan diolah secara sistematik oleh Imam Abu al-Hasan ‘Ali bin Isma’il al-Ash’ari yang dilahirkan di Basrah pada tahun 270H. Nasab keturunan beliau bersambung kepada sahabat Nabi iaitu Abu Musa al-Ash’ari dari Yaman. Sewaktu beliau hidup terdapat perubahan di dunia Islam hasil peluasan wilayah iaitu masuknya masyarakat secara besar-besaran ke dalam Islam. Permasalahan baharu dalam agama mula muncul kerana mereka tidak menguasai bahasa Arab dan masih terdapat sisa kepercayaan lama dalam ajaran terdahulu yang memberi pengaruh kepada pemikiran.

Percampuran umat dengan bukan Islam juga menyebabkan berlakunya perdebatan sengit antara umat Islam dengan penganut Kristian, Yahudi dan kepercayaan lain. Selain itu, muncul juga tekanan dari pihak Mu’tazilah yang membawa perbahasan yang membingungkan masyarakat umum. Maka, para ilmuwan Ahli Sunnah yang pada awalnya menghindari perbincangan mendalam dalam ilmu akidah akhirnya mengambil langkah mempertahankan akidah yang benar dengan dalil dan hujah yang sesuai dengan cabaran waktu itu, terutamanya ketika berhadapan dengan kepelbagaian agama dan aliran yang berlawanan.

Imam al-Asy’ari menyambung perjuangan tokoh Ahli Sunnah seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi’i, dan Imam Ahmad bin Hanbal yang menentang penyelewengan akidah. Beliau bagaimanapun menggunakan pendekatan berbeza yang lebih sesuai dengan cabaran bahru. Selain beliau, antara tokoh terkemuka lain adalah ‘Abdullah bin Sa’id bin Kullab (w. 240H) iaitu ulama kalam Ahli Sunnah pertama yang berdebat dengan Mu’tazilah menggunakan kaedah mereka, begitu juga Abu al-‘Abbas Ahmad bin Abd al-Rahman al-Qalanisi (w. sekitar 350H).

Walaupun para ulama Asya’irah pada setiap zaman telah menambah perincian dalam perbahasan akidah, namun mereka berkongsi ciri-ciri utama berikut:

1. Menghormati teks al-Quran dan hadis sebagai sumber utama akidah. Imam al-Asy’ari dalam al-Ibanah ‘an Usul ad-Diyanah berkata: “Pendapat kami dan agama kami adalah berpegang teguh kepada Kitab Allah SWT, sunnah Nabi-Nya SAW, dan apa yang diriwayatkan dari sahabat, tabiin, dan imam hadis”.

2. Memahami teks pada makna zahirnya secara asas dan tidak melakukan takwil kecuali jika perlu, iaitu untuk mensucikan Allah SWT daripada sifat yang tidak layak bagi-Nya.

3. Menguatkan maksud akidah yang dinyatakan dalam teks syarak dengan hujah akal, serta memanfaatkan bidang ilmu yang boleh menyokong akidah Ahli Sunnah seperti fakta alam, ilmu logik, dan budaya masyarakat.

Ciri-ciri ini melahirkan pemikiran akidah yang sederhana beserta hujahan yang kuat bagi membungkam mereka yang cuba menyelewengkan pegangan umat. Dalam isu  ‘penciptaan al-Quran’ yang mencetuskan fitnah besar dalam kalangan umat Islam dan memecah mereka kepada dua kelompok, Imam al-Ash’ari mengambil jalan harmoni.

Menurut Mustaffa bin ‘Abd al- Rahman al-‘Attas, kepada kelompok pertama Imam al-Ash’ari mengatakan, “Kalian berada dalam kebenaran jika yang dimaksud dengan penciptaan al-Quran adalah dari segi lafaz, tilawah, dan penulisannya. Namun, kalian tidak boleh menafikan sifat Allah yang qadim, yakni kalam, yang tiada lafaz, huruf, dan suara”.

Manakala kepada kelompok kedua beliau berkata, “Kalian benar jika yang dimaksud dengan ‘qadim’ adalah sifat yang terkait dengan zat Allah – iaitu kalam nafsiy. Namun, kalian tidak boleh menolak kehadiran lafaz yang diucapkan oleh pembaca dan bacaan mereka”. Imam al-Ash’ari telah meninggalkan sebuah khazanah ilmu yang besar dalam mempertahankan sunnah dan menjelaskan akidah.

Dengan sumbangan ini, beliau digelar sebagai Imam Ahli Sunnah serta mujaddid abad ketiga hijrah. Para pengikut beliau dari empat mazhab fiqh kemudian terus menyebarkan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang mengukuhkan kesatuan umat Islam setelah sekian lama berpecah belah.

Al-Hafiz Ibnu ‘Asakir mencatatkan ketika Imam al-Asy’ari merasa ajalnya semakin dekat, beliau memanggil salah seorang sahabatnya dan berkata, “Saksikanlah bahawa aku tidak mengkafirkan seorang pun dari kalangan umat Islam, kerana mereka semua menyembah Tuhan yang satu; perbezaan yang ada hanyalah dalam ungkapan semata.” Beliau meninggal dunia pada tahun 324H di Baghdad, dan diarak jenazahnya dengan seruan, “Hari ini telah wafat pembela sunnah.”

 

Penulis merupakan professor madya di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast