KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik suami isteri pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar yang bernilai kira-kira RM1.1 juta.
Pembekuan tersebut susulan siasatan dijalankan suruhanjaya ini terhadap suami isteri tersebut berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
Menurut sumber, Isnin lalu, SPRM secara serentak telah menyerbu FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah dan PNB serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan yang boleh membantu siasatan.
“Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi ‘Op Favish’ telah membekukan kira-kira 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat di bawah seliaan pasangan suami isteri ini bernilai kira-kira RM1.1 juta bagi membantu siasaran.
“Selain itu, SPRM juga telah merakam beberapa keterangan individu penting yang terdiri daripada pegawai kanan Khazanah, PNB, FashionValet, akauntan, penilai syarikat dan introducer,” kata sumber tersebut.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pembekuan akaun tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Terdahulu hari ini, SPRM membongkar kediaman Vivy dan Fadzaruddin yang terletak di Mont Kiara, Kuala Lumpur.
Menurut sumber, sebelum itu, pasangan tersebut hadir ke SPRM jam 1 petang untuk menyambung memberi keterangan kemudiannya dibawa ke kediaman jam 5.30 petang bagi tujuan pembongkaran.
“Dalam serbuan ini, selain dihadiri 12 pegawai SPRM, ia turut disertai peguam pasangan tersebut.
“Pengeledahan berakhir sekitar jam 8 malam dan antara barangan yang disita termasuklah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000,” katanya.
Tambah beliau, pasangan tersebut akan hadir lagi ke SPRM esok jam 10 pagi untuk sambung memberi keterangan. – MalaysiaGazette