BUKIT MERTAJAM – Kanak-kanak lelaki berusia setahun yang menghidap kecacatan jantung yang kompleks memerlukan dana RM100,000 bagi menjalani pembedahan segera.
Keadaan Muhammad Eusoff Al Amin ibarat bom jangka kerana keadaannya kini berisiko meragut nyawa jika tidak dirawat segera.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, kanak-kanak dari Simpang Ampat dekat sini itu dikesan menghidap penyakit tersebut sejurus dilahirkan.
Semasa dalam tempoh janin, doktor telah mengesan degupan jantungnya tidak normal selain kekurangan oksigen.
“Selepas lahir menerusi kaedah caesarean, dia mengalami hipoksemia (darah kekurangan oksigen) dan sianosis (jari dan bibir kebiruan) sebelum dikejarkan ke unit rawatan rapi neonatal (NICU).
“Muhammad Eusoff kemudian dikesan mengalami kecacatan jantung jarang berlaku, Tetralogy of Fallot (TOF) dengan pulmonary atresia (PA).
“Semasa usia sebulan, dia telah menjalani pembedahan pemasangan stent di jantungnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, keadaan kanak-kanak itu kini semakin buruk apabila pemeriksaan doktor baru-baru ini mendapati masalah stenosis kardiovaskular atau saluran darah sempit telah bertambah teruk.
“Dia perlu menjalani pembedahan membaiki lubang di jantung, injap jantung dan sistem kardiovaskularnya secepat mungkin kerana keadaan itu boleh meragut nyawanya,” ujarnya.
Bapanya, Shahrul Nizam Ahmad, 33, seorang pemandu lori dengan gaji pokok sekitar RM2,300 manakala ibunya, Siti Nabila Sahifulantkras, 35, suri rumah sepenuh masa itu tidak mampu menanggung kos tersebut.
Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat membantu untuk meringankan beban keluarga itu boleh menyalurkan derma menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare bernombor 3201428817 atau layari www.onehopecharity.org.
Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, sila hubungi talian hotline 04 539 9212, 016 419 2192, 019 232 2192, 018 911 4192. – MalaysiaGazette