BUTTERWORTH – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan empat lelaki termasuk dua beradik ditahan reman bagi membantu siasatan melakukan ugutan dengan melepaskan tembakan di kediaman suami isteri di Lorong Bunga Rampai di sini semalam.
Permohonan reman terhadap suspek utama berusia 43 tahun dan rakannya 53 tahun selama enam hari sehingga Isnin depan dikeluarkan Majistret Balqis Roslin.
Manakala dua beradik lagi yang berusia 50-an itu dibenarkan reman selama tiga hari.
Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 akta sama.
Semalam, polis menahan empat suspek tersebut di sebuah kediaman di Lorong Mawar, Jalan Raja Uda kira-kira 3.30 petang selepas menerima laporan daripada pasangan suami isteri yang mendakwa diugut dengan cara melepaskan tembakan di rumah mereka.
Kejadian pukul 10.50 pagi itu berlaku ketika pasangan suami isteri itu berada di rumah sebelum suspek utama dan seorang lagi rakannya datang melakukan ugutan kononya mangsa tidak membayar hutang RM29,000 ketika berjudi di tempat perkabungan pada April lalu.
Susulan itu, suspek utama mengacukan pistol ke arah mangsa sebelum melepaskan dua das tembakan ke arah dinding dalam rumah tersebut.
Dalam serbuan di lokasi tangkapan, polis turut merampas pistol serta peluru dalam milikan suspek utama. – MalaysiaGazette