Sivakumar berehat
Mike Chong Yew Chuan

KUALA LUMPUR – Arahan menggantung operasi bas terbabit dalam insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa seorang remaja lelaki di Pulau Pinang baru-baru ini disifatkan keterlaluan dan tergesa-gesa.

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong berkata, Kementerian Pegangkutan (MOT) sepatutnya mendapatkan laporan berkenaan punca sebenar kejadian terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Apatah lagi, tambah beliau, insiden melibatkan soket yang menyebabkan renjatan elektrik di dalam bas merupakan tragedi yang sangat jarang berlaku sekali gus tidak wajar untuk menyamakannya dengan kemalangan trafik biasa.

Selain itu, ujarnya, MOT juga seharusnya menyiasat pengilang bas dan pembekal berkaitan termasuk alat pengecas yang digunakan oleh mangsa bagi mengenal pasti punca sebenar sebelum mengambil sesuatu tindakan.

“Keputusan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menggantung operasi syarikat bas tersebut dengan serta-merta adalah sangat autokratik dan tidak menunjukkan profesionalisme sebagai seorang menteri.

“Ia mungkin boleh diterima jika menteri hanya meminta bas terlibat sahaja diberhentikan operasinya bagi menunggu laporan siasatan tetapi beliau telah menggantung lesen perniagaan syarikat bas itu sebelum memahami sepenuhnya punca sebenar kemalangan.

“Tindakan itu sangat autokratik dan berlebihan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sementara itu, Mike Chong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Hal Ehwal MOT Pemuda MCA mengingatkan selepas kerajaan memansuhkan subsidi diesel secara terburu-buru, tekanan kewangan yang dihadapi oleh pengendali perkhidmatan pengangkutan awam kini semakin ‘tenat’.

Sehubungan itu, ujar beliau, arahan menggantung lesen perniagaan syarikat tersebut tanpa memahami situasi sebenar secara tidak langsung menyebabkan pemandu bas lain yang tidak bersalah turut terjejas.

“Disebabkan tanggapan negatif yang wujud, syarikat bas telah dihukum tanpa melalui siasatan yang adil, ini secara tidak langsung menyebabkan ramai pemandu bas kehilangan pendapatan untuk menyara keluarga mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mengecas telefon bimbit di soket dalam sebuah bas ekspres di Penang Sentral, Pulau Pinang.

Susulan kejadian itu, MOT menubuhkan pasukan petugas khas (Special Taskforce) dan mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk segera menggantung operasi bas yang terlibat bagi membolehkan siasatan lanjut oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast