Logo HRD Corp

KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp.) akan mengemukakan laporan tindakan susulan terhadap syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 20 November ini.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding yang diadakan itu bagi mendapatkan maklum balas daripada pihak berkenaan.

“Jadi mereka kena laporkan balik (kepada PAC) setelah tiga bulan kita beri masa kepada pihak berkaitan (HRD Corp) untuk buat tindakan mengikut syor kita beri,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan untuk digunakan program latihan HRD Corp dilaburkan dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

Menurut PAC, matlamat penubuhan syarikat adalah bagi pelaksanaan dan pemungutan levi pembangunan sumber manusia untuk maksud penggalakan latihan dan pembangunan kerja, perantis dan pelatih serta penubuhan dan pentadbiran Kumpulan Wang.

Susulan pendedahan tersebut, HRD Corp diberikan tempoh tiga bulan untuk PAC memanggil pihak pengurusan perbadanan itu bagi penelitian laporan tindakan susulan terbabit.

Sebelum ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan sedang menyiasat pendedahan itu.

Pada 10 Julai lalu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengumumkan kementeriannya melantik juruaudit profesional sebagai pihak ketiga bagi melakukan audit bebas ke atas HRD Corp.

Sim berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan ketelusan dalam proses berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast