Antara PATI yang ditahan dalam operasi yang dijalankan di sekitar ibu negara, hari ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan menahan seramai 71 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi sekitar ibu negara hari ini.

Pengarahnya, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, antara yang ditahan adalah kanak-kanak berusia setahun hingga 62 tahun.

Operasi yang bermula pukul 12 tengahri itu dilakukan setelah pihaknya membuat risikan selama dua minggu.

“Kita telah melakukan pemeriksaan terhadap 150 orang PATI dan daripada jumlah itu 71 daripadanya telah melakukan pelbagai kesalahan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tangkapan PATI yang dibuat melibatkan seramai 24 orang warga Bangladesh, Myanmar (30), Nepal (8), Indonesia (7) dan Thailand (1), Pakistan (1).

Beliau menegaskan, pihak yang terlibat melindungi warga asing yang ditahan itu sama ada majikan mahupun sesiapa sahaja akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi lagi demi menjaga kedaulatan dan keselamatan awam.

Antara PATI yang ditahan dalam operasi yang dijalankan di sekitar ibu negara hari ini.

Antara kesalahan yang dikesan iaitu tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan serta mengguna atau tanpa kuasa yang sah mempunyai dalam pemilikan apa-apa permit masuk, pas, dokumen perjalanan dalam negeri atau perakuan yang palsu yang dipinda secara menyalahi undang-undang.

“Turut dikesan iaitu menggunakan lain-lain dokumen yang dikeluarkan sedemikian di mana apa-apa pengendorsan telah dipalsukan atau dipinda secara menyalahi undang-undang.

“Turut ditemui kesalahan melindungi atau menggagi warga asing dengan sengaja memberi perlindungan kepada mana-mana individu yang diketahuinya telah melanggar peruntukan akta.

“Kesalahan lain yang turut dilakukan iaitu membenarkan mana-mana PATI memasuki atau tinggal di dalam premis yang ianya mempunyai kepentingan sebagai penyelia atau menguruskan kawalan ke atas mana-mana premis, ” ujarnya.

Jelas beliau, kesemua kesalahan itu boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali termasuk sebatan.

Katanya, JIM akan sentiasa melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berkala dengan menggunakan penguatkuasaan undang-undang imigresen.

Operasi berkenaan melibatkan kekuatan anggota seramai 101 pegawai JIM dengan mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast