Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bercakap kepada media pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 28 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Parlimen hari ini melancarkan program Kesejahteraan Kesihatan bagi mempromosikan inisiatif kesihatan dalam kalangan wakil-wakil rakyat

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, program itu merangkumi tiga aspek iaitu perkhidmatan Kesihatan Kesihatan Bergerak (Wellness on Wheels (WoW), Inisiatif Perangi Gula dan Inisiatif 1,000 hari pertama kehidupan.

“Ketiga-tiganya bertujuan menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat, termasuk pemakanan sihat serta kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan.

“Di bawah Teras 2 Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) iaitu Perkhidmatan Kesejahteraan Kesihatan, Wellness on Wheels (WoW) merupakan salah satu inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi pendekatan jangkau luar yang meliputi penyampaian maklumat kesihatan, kemahiran hidup sihat, serta perkhidmatan promosi dan pendidikan kesihatan terus kepada rakyat oleh Pegawai Pendidikan Kesihatan di seluruh negara,” katanya.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly; timbalannya, Lukanisman Awang Sauni dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Fuziah Salleh.

Menurut Johari, perkhidmatan WoW secara komprehensif dan interaktif merangkumi saringan kesihatan, konsultasi pengurusan berat badan, konsultansi berhenti merokok, sesi demonstrasi aktiviti fizikal dan senaman.

“Inisiatif WoW akan diperluaskan ke seluruh negara bersama penglibatan Ahli Parlimen bermula tahun 2025. Selain itu,  inisiatif pengumuman Hari Tanpa Gula setiap hari Rabu di Parlimen pada 14 Okober 2024 yang lalu.

“Pengumuman yang telah dilancarkan dengan kerjasama KKM melalui Klinik Kesihatan Malaysia ini selaras dengan inisiatif War on Sugar yang sedang dilaksanakan,” jelasnya.

Dalam masa sama, KPDN turut melancarkan Kempen ‘Jom Kosong’ yang menyasarkan pengusaha restoran untuk mengurangkan gula. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast