Mohamed Khaled Nordin

SHAH ALAM – Kementerian Pertahanan telah menyerahkan notis pembatalan kepada syarikat yang memenangi kontrak sewaan empat helikopter UH-60A Black Hawk untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia selepas syarikat pembekal itu gagal mematuhi tarikh akhir penyerahan helikopter selepas dilanjutkan sehingga 30 Oktober lalu.

“Tarikh serahan pada Oktober lalu telah berakhir. Tiada apa-apa (Black Hawks). Jadi kita hantar notis pembatalan,” katanya secara ringkas.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas
Majlis Penghantaran Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Lubnan (Unifil) Batalion Malaysia (MALBATT) 850 -12 di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Bulan lalu, Mohamed Khaled berkata, kementeriannya memberi tempoh kepada syarikat pembekal sehingga Oktober ini untuk memenuhi penghantaran empat Black Hawk.

Pada Ogos lalu, beliau berkata, pihaknya sudah mendapat maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara berkaitan cadangan pembatalan kontrak sewaan Black Hawk untuk TDM.

Kementerian Pertahanan sebelum ini dilaporkan akan menilai secara menyeluruh perjanjian pajakan empat helikopter Black Hawk sebelum membuat keputusan sama ada membatalkan kontrak atau memberikan masa tambahan kepada pembekal.

Pada Mei tahun lalu, Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak menyewa empat helikopter dengan syarikat tempatan, Aerotree Defence and Services Sdn Bhd selama lima tahun bernilai RM187 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast