Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan) mendakwa ada pelancong dari China di kawasannya menjadi peniaga.

Katanya, situasi tersebut mengundang kebimbangan dalam kalangan peniaga tempatan sehingga mendesaknya membangkitkannya di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

“Apa yang sedang berlaku contohnya di Semporna ada pelancong dari China menjadi peniaga. (Saya tidak tahu adakah) Mereka ada joint venture (kerjasama) tidak tahulah mereka gunakan rakyat tempatan atau bagaimana.

“Tapi mereka mempunyai syarikat, syarikat peranginan pun ada. Ini kebimbangan saya. Lebih 23 peniaga membantah perkara ini, saya minta penjelasan dasar kerajaan berkenaan ini,” katanya.

Mengakui menerima banyak laporan mengenai pelancong yang beniaga, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan menjelaskan perkara yang dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Sabah diperincikan dalam usaha kerajaan mengkaji semula Akta Industri Pelancongan 1992.

“Itu sebabnya pihak kita di kementerian sedang menyemak semula Akta Industri Pelancongan. Akta ini diwujudkan sejak 1992 dan tidak pernah disemak semula sehingga kini.
Itu sebabnya dalam pembaharuan akta ini banyak perkara akan diambil kira,” katanya.

Sebagai rekod, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kini sedang melaksanakan kajian pindaan Akta Industri Pelancongan 1992.

Pelaksanaan kajian pindaan akta itu bakal meningkatkan keberkesanan kerangka kawal selia dalam mendepani isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri pelancongan negara.

Iatermasuk cabaran daripada segi peningkatan platform dan syarikat pelancongan atas talian serta pengusaha kecil dan sederhana tanpa lesen yang memberikan perkhidmatan pelancongan yang boleh menyebabkan pembangunan dan operasi yang tidak terkawal seterusnya mengakibatkan kepentingan dan hak-hak pengguna terjejas.

Pada Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan menyemak semula akta berkenaan untuk disesuaikan dengan pasaran pelancongan semasa serta memenuhi keperluan Tahun Melawat Malaysia 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast