Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan jaminan akan menyiasat dakwaan kes serangan seksual ke atas seorang kakitangan Hospital Queen Elizabeth 1 di Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, KKM akan melakukan siasatan secara terperinci mengenai dakwaan itu dan tidak akan memilih bulu.

“KKM akan menyiasat sehingga ke akar umbi,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Kesihatan dan Kesejahteraan Parlimen yang dirasmikan Yang di-Pertua Dewan, Tan Sri Johari Abdul di sini hari ini.

Sebelum itu media melaporkan terdapat satu kes serangan seksual berlaku di Hospital Queen Elizabeth 1 di Sabah melibatkan seorang pembantu perubatan berusia 32 tahun.

Kejadian dipercayai berlaku Jun lalu semasa prosedur klinik dibuat di hospital berkenaan.

Wanita itu turut mendakwa telah melaporkan kejadian tersebut kepada KKM dan pihak polis.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya akan berusaha untuk tidak mengganggu siasatan polis mengenai perkara itu namun akan menuruti hasil siasatan tersebut.

“Siasatan polis sudah digerakkan, kita akan ikut hasil siasatan polis. Seperti mana yang berlalu di Lahad Datu, kita akan buat keputusan selepas siasatan polis dibuat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast