Kim Pan Gon

ISKANDAR PUTERI – Ketiadaan dua pemain utama akibat kecederaan menjejaskan perancangan Ulsan HD untuk beraksi dengan barisan terbaik ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi.

Ketua jurulatih pasukan dari Korea Selatan itu Kim Pan Gon berkata hal itu antara punca kekalahan mereka kepada JDT pada perlawanan keempat Liga Juara-Juara Elit (ACLE) 2024/25 di Stadium Sultan Ibrahim di sini.

Beliau berkata pasukannya terpaksa mengharungi perlawanan yang amat mencabar apabila dua pemain, Lee Myeong Jae dan Ko Seung Beom, tidak dapat diturunkan untuk menentang JDT.

“Saya sedar kualiti yang dimiliki JDT, mereka mempunyai ramai pemain yang berkualiti dan berkebolehan, pada masa sama ketiadaan mereka (dua pemain itu) memberi impak besar kepada perancangan pasukan.

“Kami juga bergelut untuk mendapatkan rentak terbaik seawal minit pertama permainan dan ia kelihatan semakin sukar selepas Arif Aiman ​​menjaringkan gol,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Menurut bekas jurulatih Harimau Malaya itu kebanyakan pemain Ulsan HD turut kelihatan keletihan kerana terpaksa mengharungi jadual yang agak padat dalam liga domestik dan hanya mempunyai lima hari untuk bersiap sedia bertemu JDT.

“Selepas ini Ulsan HD mesti meningkatkan prestasi untuk menghadapi baki saingan ACLE bagi mendapatkan keputusan terbaik. Seluruh pasukan kami memohon maaf kepada semua peminat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT Hector Bidoglio memuji pemainnya yang berjaya mengekalkan rentak permainan dengan asakan serangan.

“JDT mempunyai falsafah tersendiri. JDT ialah pasukan yang gemar bermain di kawasan lawan. Falsafah kami bukan hanya untuk menguasai bola tetapi juga terus memberikan tekanan kepada pihak lawan. Serangan balas kami sangat berkesan. Pasukan bermain sangat mantap dan saya sangat berpuas hati dengan prestasi pemain,” katanya.

JDT menewaskan Ulsan HD 3-0 malam tadi dengan gol pertama dijaringkan Arif Aiman ​​​​lapan minit selepas permainan bermula, diikuti Oscar Arribas pada minit ke-67 dan Bergson Da Silva pada minit ke-88. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast