M Kulasegaran
M Kulasegaran

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran mengaku Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang tidak diaudit sejak 17 tahun yang lalu.

Malah beliau dalam masa yang sama mengakui baru sahaja mengetahui perkara tersebut semasa sesi Kamar Khas pada minggu lepas.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan akan memastikan pengauditan terhadap lembaga tersebut akan dilaksanakan segera.

“Saya setuju tidak ada pengauditan selama 17 tahun. Kita sedang mengambil tindakan susulan supaya pengauditan dibuat seberapa segera boleh dan pemegang taruh dapat tahu berapakah, adakah pengendalian oleh ahli lembaga mengikut undang-undang.

“Saya setuju itu dikatakan PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) bahawa tatakelola perlu telus, supaya rakyat tahu berapa dibelanjakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Cha Kee Chin (Rasah – Pakatan Harapan) yang mempersoalkan kenapa lembaga tersebut tidak diaudit setelah sekian lama.

Selain itu, Kee Chin turut bertanya sejauh manakah kebenaran dakwaan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang tidak dikenakan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mengenai perkara tersebut, Kulasegaran turut mengakui perkara tersebut namun beliau tidak mengulas lanjut mengenainya.

“Setakat ini tidak membayar cukai akan mendapatkan sebab daripada lembaga, saya percaya akan mendapat jawapan bertulis dan beri kepada YB tetapi mengikut undang-undang saya rasa LHDN tidak mengenakan cukai kepadanya.

“Saya percaya ada perbincangan dan saya akan berikan hasilnya,” katanya lagi.

Terdahulu beliau memaklumkan, setakat 30 September tahun ini, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang menerima RM4.2 juta bayaran daripada calon peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Ia meliputi yuran pemprosesan permohonan RM148,000; Yuran pendaftaran dan peperiksaan CLP untuk calon baru RM3.12 juta; yuran peperiksaan mengulang satu subjek RM71,000 dan yuran mengulang semua subjek RM1.3 juta, jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast