Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berucap ketika menghadiri Program Sembang Santai Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Bersama Media 2024 di Bora Ombak Marina, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 NOVEMBER 2024

PUTRAJAYA – Seramai 119,410 penagih yang menyalahguna dadah sintetik direkodkan sejak Januari hingga September lalu.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, dadah sintetik yang digunakan adalah dalam kategori Amphetamine Type Stimulants (ATS).

Katanya, ia dihasilkan secara pemprosesan campuran bahan kimia antaranya syabu, ice, dan batu dalam bentuk kristal.

“Manakala, dalam bentuk tablet pula seperti pil kuda, ekstasi dan pil yaba,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada progam Sembang Santai bersama media, di sini, hari ini.

Menurut Ruslin, dadah jenis opiat pula mencatatkan angka kedua tertinggi dengan catatan kes sebanyak 38,854 orang diikuti dadah jenis ganja seramai 6,750 orang dan pil psikotropik pula sebanyak 2,114 kes.

“Berdasarkan statistik penyalah guna dan penagih dadah serta bahan, seramai 169,691 orang telah dikesan mengambil dan menyalah guna bahan terlarang itu di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 162,360 orang adalah lelaki manakala wanita pula seramai 7,331 orang,” ujarnya.

Tambah beliau, kadar penyalahguna dan penagih dadah atau bahan bagi setiap 100,000 penduduk menyaksikan Kelantan mencatatkan jumlah paling tinggi dengan catatan kes sebanyak 980 orang.

“Data ini disusuli dengan Terengganu dengan angka sebanyak 925 orang diikuti Perlis sebanyak 884 orang, Kedah (790 orang); Pahang (704 orang); Pulau Pinang (700 orang) dan Melaka sebanyak 664 orang,” jelasnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast