KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad memandang serius mengenai laporan media Jerman Deutsche Welle yang mendakwa Malaysia adalah pengimport sisa plastik kedua terbesar dari Kesatuan
Eropah (EU).
Ini kerana, menurut beliau, usaha berterusan sedang dilaksanakan dengan pelbagai kementerian dan agensi untuk membanteras pengimportan sisa haram ke dalam negara.
Tindakan drastik seperti perwakilan kuasa daripada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi jenayah alam sekitar melibatkan sisa plastik akan
diperkenalkan.
Tambah beliau, mulai tahun 2026, EU akan mengenakan sekatan ketat terhadap eksport sisa, khususnya sisa plastik, ke negara-negara bukan OECD (Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi).
Malaysia selaku negara yang sering menjadi destinasi utama pengimportan sisa secara haram sangat menyambut baik usaha ini dan sudah tiba masanya negara memandang serius isu penjajahan sisa ini.
Katanya, negara maju perlu mengikut jejak EU untuk mengurangkan janaan sisa mereka selain menguruskan sendiri sisa yang dijanakan.
Pada 26 Oktober 2018, Jawatankuasa Induk Pengurusan Skrap Plastik Import yang dianggotai pelbagai kementerian telah menetapkan kuota import sisa plastik pada 350,000 tan setahun dan kuota ini masih terpakai sehingga kini.
Sejak itu, pelbagai sekatan telah dikenakan bagi memastikan hanya sisa plastik yang bersih dan homogen diimport masuk ke dalam negara.
Selain itu, kerajaan telah menetapkan supaya nisbah sumber import yang dibenarkan hanya sebanyak 70% berdasarkan kapasiti kilang dan selebihnya haruslah menggunakan sisa plastik tempatan bagi merancakkan sektor kitar semula tempatan.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan membawa cadangan hala tuju pengurangan kuota import sisa plastik selari dengan hasrat untuk menumpukan kepada industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi .
Sejajar dengan aspirasi ASEAN untuk kelestarian alam sekitar, Nik Nazmi berkata, beliau akan membawa usul ini pada Kepengerusian ASEAN pada tahun hadapan memandangkan banyak negara terkesan dengan masalah yang
sama.
Malaysia akan memimpin usaha untuk memperkenalkan langkah-langkah yang lebih tegas serta dasar yang lebih ketat dalam menangani isu ini di peringkat serantau, tambah beliau. – MalaysiaGazette