Gambar hiasan Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur. foto AIZAT ZAINAL, 06 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini.

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan adalah konsisten dengan penilaian semasa tentang prospek inflasi dan pertumbuhan.

“MPC terus memantau perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian trajektori inflasi dan trajektori pertumbuhan dalam negeri menuju tahun 2025 dan akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bank Pusat itu berkata, Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini mencatatkan kegiatan ekonomi yang terus kukuh, didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan aktiviti eksport yang lebih tinggi.

Pada masa hadapan, eksport dijangka terus disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global, eksport barangan bukan E&E yang terus kukuh dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.

Pertumbuhan guna tenaga dan upah berserta langkah-langkah dasar terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

Aktiviti pelaburan yang mantap akan terus berkembang disebabkan oleh projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional.

Pelaburan ini yang disokong oleh modal import yang lebih tinggi akan meningkatkan eksport dan mengembangkan keupayaan pengeluaran ekonomi.

Langkah-langkah Belanjawan 2025 akan memberikan sokongan tambahan kepada pertumbuhan ekonomi, ujarnya.

Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.

Sementara itu, pertumbuhan mungkin menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan projek pelaburan yang lebih pantas.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal sederhana dengan purata 1.8% sejak awal tahun sehingga kini.

Menuju tahun 2025, inflasi dijangka kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan.

Walau bagaimanapun, prospek inflasi terus bergantung pada perincian pelaksanaan langkah-langkah dasar dalam negeri yang telah diumumkan.

Risiko kenaikan inflasi akan bergantung pada tahap kesan limpahan langkah-langkah dasar dalam negeri serta harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan.

Prestasi ringgit terus didorong terutamanya oleh faktor luaran.

BNM berkata, keputusan pilihan raya Amerika Syarikat mungkin meningkatkan volatiliti dalam jangka masa terdekat.

Pada masa hadapan, perbezaan kadar faedah yang semakin kecil antara Malaysia dengan ekonomi-ekonomi maju adalah positif untuk ringgit.

Prospek ekonomi Malaysia dan pembaharuan struktur dalam negeri yang menggalakkan, bersama-sama dengan inisiatif yang sedang dilaksanakan untuk menggalakkan aliran dana, akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit.

Kata BNM, ekonomi global terus berkembang berikutan keadaan pasaran pekerja yang berdaya tahan dan pemulihan perdagangan global yang berterusan.

Pada masa hadapan, pertumbuhan global dijangka berterusan disebabkan keadaan pasaran pekerja yang positif, inflasi yang terus sederhana dan dasar monetari yang kurang ketat.

Perdagangan global dijangka terus pulih disokong oleh produk elektrik dan elektronik (electrical and electronics, E&E) serta produk bukan E&E.

Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, khususnya disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, volatiliti dalam pasaran kewangan global yang meningkat dan momentum pertumbuhan yang lebih perlahan di ekonomi-ekonomi utama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast